Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan akan membincangkan imbuhan sewajarnya kepada skuad Harimau Malaya atas kejayaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Kelmarin, peminat bola sepak tempatan bersorak gembira apabila skuad negara berjaya menewaskan Bangladesh, 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Kim Pan Gon menamatkan penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke pentas kejohanan paling berprestij di Asia itu selepas kali terakhir melakukannya pada 1979 ketika Kelayakan Piala Asia 1980.

Menurut Ismail Sabri, ianya merupakan pencapaian yang cukup bermakna kerana sudah lama skuad bola sepak negara tidak mencatat sebarang kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah saya akan bincangkan perkara itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta akan turut berbincang bersama FAM. Ia mengenai keraian atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan, kita akan berbincang mengenainya,” katanya.

Beliau juga turut berharap skuad Harimau Malaya akan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Asia tahun depan dan kembali menaikkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Ini cuma ujian pertama yang kita lepasi, ujian lebih besar adalah pada Piala Asia nanti untuk dapatkan tempat (keputusan) terbaik dalam pertandingan.

“Diharapkan semangat juang ini dapat diteruskan untuk mengembalikan nama Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat Asia,” katanya dipetik dalam Arena Metro.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Kim Pan-gon Ucap Terima Kasih Kepada TMJ Kerana Menyalur 15 Pemain JDT Untuk Harimau Malaya

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama