Pemain futsal dari Iran terus mendapat peluang terbaik untuk meningkatkan lagi kemampuan mereka di Eropah apabila giliran Moslem Oladghobad pula dinamakan sebagai rekrut baharu buat kelab Liga Futsal Sepanyol, Palma Futsal.

Oladghobad yang memiliki kemahiran individu berkelas dunia terutamanya dalam aspek menggelecek telah diperkenalkan secara rasmi di laman sesawang rasmi kelab tersebut.

Kehadiran pemain berusia 26 tahun itu mengikuti jejak langkah rakan senegaranya, Hossein Tayebi yang terlebih dahulu menyertai kelab dari Mallorca tersebut pada Ogos lalu.

Tayebi merupakan antara pemain futsal terbaik dunia yang sebelum ini menjadi tonggak kepada Kairat Almaty dari Kazakhstan dan gergasi Portugal, Benfica.

Menurut laporan Palma Futsal, Moslem Oladghobad yang baharu sahaja menggalas cabaran Iran dalam Piala Antara Benua 2022 di Thailand sudah mula menyertai sesi latihan pasukan, semalam.

Palma Futsal tidak dapat menggunakan khidmat Oladghobad dan Tayebi pada aksi sulung Liga Futsal Sepanyol minggu lalu berikutan kelewatan dalam menyelesaikan isu visa kedua-dua pemain tersebut.

Selain Oladghobad dan Tayebi, seorang lagi pemain Iran turut berada dalam kancah Liga Futsal Sepanyol musim ini apabila pivot kental, Saeid Ahamad Abbasi menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Albali Valdepenas.

Ketiga-tiga pemain ini dijangka hanya akan menyertai pasukan masing-masing pada bulan hadapan kerana mahu memberikan fokus terhadap skuad kebangsaan Iran yang akan bersaing dalam Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait bermula 27 September hingga 8 Oktober nanti.

 

Sumber