Pemain mudah Thailand yang sedang meningkat naik, Jakkit Wachpirom yang kini beraksi bersama pasukan FC Tokyo U23 dalam saingan J3 League gagal untuk berada dalam senarai 20 pemain terakhir ke Sukan Asia.

Jakkit musim 2018 ini telah melakukan 13 penampilan dari 19 perlawanan bersama FC Tokyo U23 dengan 1,059 minit masa bermain dalam liga divisyen 3 Jepun itu namun masih belum berjaya memikat hati ketua jurulatih skuad Thailand U23, Woorawoot Srimaka.

Menurut laporan beberapa media dari Thailand, Woorawoot tidak menyenaraikan Jakkit dalam 20 pemain terakhir untuk dibawa ke Indonesia adalah kerana gaya permainan yang dimiliki oleh Jakkit bukan keutamaan kepada permainan yang cuba diterapkan olehnya di kejohanan itu.

Dilaporkan juga Jakkit masih mempunyai kelemahan untuk membuat keputusan dalam permainan dan ini antara faktor utama yang dinilai oleh Woorawoot Srimaka yang mensasarkan pasukan itu mara sejauh mungkin.

jakkit wachpirom

Musim lalu, Jakkit Wachpirom menyertai FC Tokyo U23 dari Bangkok United FC secara pinjaman sehingga tamat musim, dengan kontrak pinjaman selama 6 bulan. Beliau berjaya membuat 11 penampilan dari baki 17 perlawanan terakhir menjaringkan 1 gol dan merekodkan 685 minit masa bermain.

FC Tokyo U23 melihat Jakkit Wachpirom sebagai seorang pemain yang berpotensi dan bersetuju untuk menyambung kontrak pinjaman selama 1 musim lagi.

Jakkit akan kembali ke Tokyo selepas ini bagi membuat persiapan perlawanan ke 20 bertemu Thespakusatsu Gunma pada 25 Ogos 2018.