Kelab Bola Sepak Sarawak United baru-baru ini mengumumkan mereka telah menyelesaikam tuggakan gaji pemain dan para pegawai pasukan yang telah tertunggak selama empat bulan.

Sarawak membuat satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan mengenai perkara ini sebelum aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan pada hari jumaat lepas.

“Sarawak United telah melunaskan tunggakan gaji pegawai dan pemain dengan jayanya. Sekian, terima kasih,” kata kenyataan daripada Presiden, Dato’ Posa Haji Majais.

Bagaimanapun, pemain pertahanan pasukan itu, Raja Imran Shah mendedahkan melalui laman instagram story bahawa Sarawak United masih belum selesaikan tunggakan gaji penuh.

Raja Imran menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

Isu tunggakan gaji pasukan tersebut pernah dapat perhatian Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang menegur agar segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) turut mengeluarkan notis kepada Sarawak United pada 14 Jun 2022 untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan. Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas.

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya,” kata PFAM dalam satu kenyataan rasmi pada bulan Ogos 2022.

Isu tunggakan gaji ini memberikan imej buruk kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan sekaligus mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.

Tahun lepas sebanyak 147 kes tunggakan gaji melibatkan permohonan bekas pemain dari Malaysia telah diluluskan dan menerima geran program ‘FIFA Fund for Football Players’.

Jumlah tersebut menjadikan Malaysia di kedudukan kedua selepas Greece yang merekodkan kelulusan permohonan kes terbanyak iaitu sebanyak 291.