Pemain Batu Dua FC terus ditimpa nasib malang apabila sehingga saat ini, mereka masih belum menerima sebarang bayaran gaji sejak lima bulan lalu. Lebih menyedihkan, baru-baru ini mereka menerima bayaran yang dianggap tidak wajar setelah Batu Dua tewas dengan keputusan 10-0 kepada Kelantan United dalam perlawanan Liga M3 yang berlangsung Sabtu lalu.

Satu pendedahan dilakukan oleh La BOLA Malaya dimana pemain Batu Dua hanya menerima bayaran sebanyak RM50 dan perkara ini dianggap sebagai satu penghinaan kepada pemain kerana mereka masih lagi turun beraksi walaupun gaji mereka belum dibayar.

Menurut salah seorang sumber yang enggan namanya didedahkan, beliau memberitahu kepada Vocket FC sebelum perlawanan menentang Kelantan United, pihak pengurusan Batu Dua telah memanggil semua pemain untuk hadir bagi membincangkan masalah tunggakan gaji.

Pemain diminta hadir pada perlawanan menentang Kelantan United oleh pengurusan pasukan bagi membincangkan masalah tunggakan gaji dan mahu memberi sedikit elaun untuk pemain. Sebab itu ramai pemain yang beraksi bersama pasukan Sabtu lalu.

Selepas perlawanan, pemain hanya mendapat bayaran sebanyak RM50. Itu sahaja yang saya tahu. Mengenai perbincangan seterusnya antara pemain dan pihak pengurusan saya kurang pasti,” kata sumber tersebut.

Pemain Batu Dua
Pemain Batu Dua. FOTO: Batu Dua FC

Akibat daripada krisis tunggakan gaji yang dihadapi oleh Batu Dua ketika ini, kelab tersebut berada di ambang untuk menarik diri daripada saingan Liga M3 musim ini sekaligus mengikut jejak langkah beberapa pasukan lain yang telah terkubur sebelum ini iaitu Perlis Northern Lions, Terengganu City FC, Hanelang FC dan Marcerra United.

Bekas emain import pasukan itu, Ljuba Baranin pernah mengemparkan bola sepak tempatan apabila mendedahkan pengurusan Batu Dua FC tidak menghormati beliau sebagai pemain import pasukan.

Beliau turut menyifatkan pemilik kelab yang sinonim dengan panggilan Tuan Muda juga berpura-pura mempunyai dana namun hakikatnya pemilik tersebut tidak mempunyai wang apabila sering memberi cek palsu kepadanya.

Anda boleh membaca artikel berkaitan isu tunggakan gaji pemain Batu Dua FC di sini:

Empat Bulan Gaji Tidak Dibayar, Batu Dua FC Bakal Berkubur?

Ljuba Baranin Tinggalkan Batu Dua, Bidas Pengurusan Pasukan