Seorang pemain daripada kelab liga divisyen 3 (M3), Batu Dua FC mendakwa masih belum menerima gaji sehingga kini walaupun pihak pengurusan menjanjikan akan menyelesaikan masalah mereka.

Menurut laporan daripada Arena Metro, sudah tiga bulan kelab tersebut gagal menyelesaikan tunggakan gaji dan beberapa pemain bakal mengambil keputusan untuk angkat kaki serta “memboikot” baki lebih 10 perlawanan Liga M3 pada musim ini.

Lebih mengejutkan, seorang pemain yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Zahid’ mengambil keputusan untuk tidak menyertai 18 pemain Batu Dua FC dan tidak lagi beraksi bermula dengan perlawanan menentang Kuching FA di Kemaman, Terengganu, semalam.

“Saya tanya pengurus sama ada kami akan mendapat gaji selepas aksi di Kemaman dan beliau kata: ‘susah nak kata’. Justeru, saya dan dua lagi rakan, memilih untuk tidak bermain,” kata Zahid.

66114536_1027466454123893_5088777505427423232_n
Aksi Batu Dua FC menentang Kuching FA semalam. FOTO: Batu Dua FC

Malah, Zahid juga mendakwa beberapa pemain terpaksa ‘ikat perut’ dan meminjam wang daripada ahli keluarga serta rakan-rakan untuk menampung kos sara hidup dalam masa sebulan.

“Setiap minggu pengurusan pasukan janji nak bayar sehingga ada antara pemain nak makan atau turun padang pun tiada duit sehingga terpaksa meminjam.

“Mereka janji nak bayar sebelum bermulanya perlawanan namun selepas itu diam saja dan kali terakhir pengurusan memberi pemain RM500 minggu lalu namun ia habis dijadikan perbelanjaan untuk aksi di Kelantan.

“Sampai bila kami boleh bertahan dengan keadaan ini dan kemungkinan ramai lagi yang akan boikot perlawanan akan datang kerana sudah ‘pokai’,” katanya.

Tindakan undang-undang bakal diambil

Seorang lagi pemain yang dikenali sebagai Zarul pula mungkin akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyifatkan pengurusan Batu Dua FC langsung tidak menunjukkan tanda untuk menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

“Jika tiada jalan penyelesaian, kemungkinan kami akan mengupah peguam untuk tindakan lanjut selain mengadu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.

Sebelum ini pemain import pasukan itu, Ljuba Baranin mengemparkan bola sepak tempatan apabila mendedahkan pengurusan Batu Dua tidak menghormati beliau sebagai pemain import pasukan. Beliau turut menyifatkan pemilik kelab yang sinonim dengan panggilan Tuan Muda juga berpura-pura mempunyai dana namun hakikatnya pemilik tersebut tidak mempunyai wang apabila sering memberi cek palsu kepadanya.

Sumber