Ledakan dua jaringan pada dua perlawanan terakhir semasa berdepan Terengganu FC II dan PDRM FC kembali memastikan penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani berada dalam persaingan merebut penjaring terbanyak Liga Premier 2022.

Penyerang berusia 28 tahun itu kini hanya ketinggalan dua gol di belakang penyerang Kuching City FC, Abu Kamara yang menjaringkan 10 gol secara keseluruhan ketika baki saingan Liga Premier hanya tinggal dua perlawanan.

Menurut Nurshamil, secara keseluruhan dia berpuas hati kerana berjaya menjaringkan lapan gol setakat ini tetapi masih berkeinginan menambah angka jaringan selain meneruskan perjuangan merebut kejuaraan Liga Premier buat Kelantan FC.

“Di awal musim, saya pernah cakap mahu cuba dapatkan gelaran penjaring Liga Premier terbanyak selepas pernah memenanginya untuk kategori pemain tempatan.”

Nurshamil Tidak Gentar, Sedia Bersaing Dengan Penyerang Import

“Saya bersyukur kerana dapat meledak dua jaringan pada dua perlawanan terakhir yang letakkan saya masih berpeluang bersaing bersama Kamara, dengan hanya ketinggalan dua gol.”

“Saya akan berusaha pada dua lagi baki perlawanan dan sambil jadikan matlamat membantu pasukan mengejar kejuaraan Liga Premier sebagai motivasi utama,” katanya.

Selain Kamara yang mendahului carta jaringan, penyerang Kelantan United FC, Njoku Jacob dan Fernando Rodriguez (bekas penyerang JDT II) turut menjaringkan lapan gol untuk duduki tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak Liga Premier.

Musim lalu, Nurshamil menjaringkan tujuh gol untuk Kelantan bagi menggondol Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier dan penyerang yang berasal dari Melaka ini kekal konsisten pada musim ini walaupun ada terlepas beberapa perlawanan ekoran dilanda kecederaan.

Mengenai cabaran Kelantan di Liga Premier, Nurshamil mahu melihat satu demi persatu perlawanan sambil enggan terlalu memikirkan mengenai kejuaraan yang kini disaing hebat oleh JDT II.

Kredit Foto: Malaysian Football League

Tambahnya, tumpuan utama mereka buat masa ini ialah bangkit daripada kegagalan mendapatkan kemenangan semasa bertemu Terengganu FC II(TFC II) dengan meraih tiga mata penting ketika melayani kunjungan Selangor 2, 4 September ini di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

“Memang masih terasa apabila kami gagal menang semasa dengan TFC II selepas mendahului dua jaringan di hadapan untuk sekadar seri dan harap kami boleh bangkit daripada kekecewaan tersebut.”

“Berbaki dua perlawanan, saya dan rakan-rakan hanya mahu fokus kepada perlawanan yang akan dilalui terutama berdepan Selangor 2 tanpa mahu memikirkan bagaimana peluang kami.”

“Apa-apa kita kena buat yang terbaik berdepan Selangor 2 bagi mendapatkan kemenangan sebelum kita akan bertemu Kelantan United pada aksi terakhir Liga Premier,” tambah Nurshamil lagi.