Presiden Selangor United, Firdaus Mohamed percaya kelab kecil berpeluang untuk meraih lebih pendapatan menerusi penstrukturan baharu hak penyiaran Liga Malaysia walaupun tidak mempunyai kelompok penyokong besar.

Berbeza dengan pasukan berstatus gergasi tanah air, Firdaus sedar banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh pasukan kecil untuk menarik lebih ramai penyokong membantu jana pendapatan lebih tinggi dengan melanggan applikasi yang bakal diperkenalkan oleh rakan kongsi baharu MFL iaitu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC).

Katanya, setiap pasukan perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam meraih pendapatan yang lebih tinggi.

Firdaus Mohamed
Sumber Gambar: Harian Metro

“Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada MFL kerana isu agihan hak penyiaran juga sudah terlerai selain pengumuman penstrukturan baharu yang bakal dilakukan tahun depan.

“Bagi saya benda ini subjektif di mana ia sudah pasti bergantung kepada para penyokong masing-masing untuk akhirnya beri keuntungan kepada pasukan mereka.

“Dan tugas kami di Selangor United perlu ada inisiatif sendiri macam mana mahu tarik peminat kerana peluang sudah di depan mata, hanya kita perlu bekerja keras raih pendapatan melaluinya.

“Dan sepertimana yang dijelaskan oleh pihak MFL, keuntungan yang diperoleh oleh kelab-kelab besar, pasukan kecil juga tidak akan ketinggalan untuk dapat imbuhan kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman menyifatkan inilah masanya untuk penyokong membuktikan rasa cinta mereka kepada pasukan masing-masing dengan membantu raih pendapatan lebih banyak menerusi penstrukturan baharu ini.

Afizal Abu Othman
Sumber Gambar: Stadium Astro

Jelasnya, penyokong kini boleh diibaratkan sebagai pelanggan utama di mana tugas pasukan adalah untuk melakukan seberapa banyak penglibatan aktiviti bersama peminat untuk memastikan mereka terus setia dalam memberikan sokongan.

“Mula-mula saya rasa mesti akan mencabar untuk kita di Felda United bagi tarik penyokong sendiri melanggan applikasi untuk menonton perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan kita.

“Tapi kalau ikutkan, kita sendiri pun ada stadium keramat (Stadium Tun Abdul Razak Jengka) dan rugilah kalau kita tak betul-betul terlibat dengan penyokong.

“Dan saya percaya, dengan strategi yang terbaik, setiap pasukan besar atau kecil pasti akan peroleh pendapatan dan imbuhan lebih tinggi sebaik sahaja penstrukturan itu bermula,” katanya.