Pengendali berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan meluahkan kebimbangan beliau mengenai status terkini saingan Liga Malaysia musim 2020 selepas Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti bola sepak selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (kluster keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi kelulusan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) meneruskan saingan Liga Malaysia pada bulan Oktober atau November.

Menurut Wan Jamak, peminat bola sepak tempatan mungkin sudah boleh melupakan impian untuk melihat skuad Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023 jika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 diadakan pada bulan Oktober.

harimau malaya
Malaysia berpeluang ke Piala Asia 2023 secara merit melalui kedudukan kedua terbaik kumpulan G.

Hal ini kerana para pemain tidak cukup cergas untuk menghadapi perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa susulan penangguhan saingan Liga Malaysia sejak bulan Mac lalu ditambah pula kurang persediaan dari segi latihan.

“Memang susah (Liga M dibatalkan) sebab liga tempatan biasanya dijadikan asas pemilihan pemain oleh jurulatih. Tapi dengan situasi Covid-19 dah halangan berkumpul dalam negara ketika ini, pasukan tak ada pilihan yang banyak.

“Kalau perlawanan (kelayakan Piala Dunia/Piala Asia) diteruskan juga, FAM kena duduk berbincang dan fikirkan cara terbaik kerana kita juga ada peluang untuk layak. Sayang juga sebab pasukan kita sekarang amat mantap dengan ada beberapa pemain naturalisasi saya lihat pasukan ini boleh pergi jauh.

“Mungkin FAM kena keluar duit belanja lebih sikit dengan hantar pasukan berlatih di luar negara selama sebulan untuk buat persediaan. Tapi negara yang nak pergi itu mesti bebas daripada Covid-19 dan itu saja pilihan yang ada,” katanya kepada Arena Metro.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu mengeluarkan kenyataan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka jika mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan sepanjang berada dalam wabak pandemik.

Justeru itu, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mungkin bakal berdepan masalah untuk mengumpulkan pemain terbaik bagi membuat persiapan rapi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Malah, Cheng Hoe juga bimbang dengan jadual padat yang sedang menanti pemain jika saingan Liga Malaysia diteruskan kerana ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan serius kepada pemain.

“Kebimbangan disini ialah jadual perlawanan. Kami mungkin akan berdepan jadual yang cukup padat dan ini akan mendatangkan kecederaan apabila musim bola sepak kembali bersambung.

“Kami harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya juga perlukan ‘pool’ pemain yang lebih besar,” jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

‘Ekor’ Harimau Malaya Terlalu Bising Di Stadium, Hampir Mustahil Untuk Dengar Arahan Dalam Padang

New Zealand Mungkin Jadi Lawan Harimau Malaya

Safee Sali Intai Peluang Sertai Skuad Harimau Malaya Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022