Skuad Harimau Malaya kini berada di Amman, Jordan untuk kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Suzuki AFF 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula pada tahun depan.

Dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan yang berada di ranking FIFA lebih tinggi iaitu Jordan (Esok) dan Uzbekistan (9 Oktober 2021) telah diaturkan untuk menguji kemampuan pemain berdepan barisan yang lebih kuat.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe turut membawa beberapa muka baharu seperti penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Tumpuan peminat bola sepak tempatan pasti lebih terarah kepada posisi pertahanan tengah setelah dikejutkan dengan isu kecederaan Dion Cools dan Sharul Nazeem ditambah pula dengan kegagalan  pemain Terengganu FC, Shahrul Nizam melaporkan diri di kem latihan pusat.

Posisi pertahanan tengah ini cukup kritikal kerana kita bakal berdepan penyerang yang mempunyai kepantasan dan kemahiran yang lebih tinggi. Justeru itu, Cheng Hoe memerlukan benteng pertahanan yang cukup ampuh untuk mengelakkan daripada mengalami kekalahan besar.

Dalam senarai 22 pemain yang dibawa ke Amman, Harimau Malaya kini hanya mempunyai 3 pemain pertahanan tengah yang boleh diturunkan iaitu Aidil Zafuan, Irfan Zakaria dan Dominic Tan.

Ketiadaan Shahrul Nizam dan Dion Cools merupakan peluang terbaik untuk Irfan Zakaria dan Dominic membuktikan kemampuan mereka berganding dengan pemain berpengalaman, Aidil Zafuan untuk mengekang kemaraan jentera serangan Jordan dan Uzbekistan.

Sebagai rekod, Irfan pernah beraksi bersama Aidil ketika perlawanan persahabatan menentang Bahrain pada bulan Mei lalu namun beliau melakukan kesilapan dengan menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan sebelum Tan Cheng Hoe menukarkan dengan pemain lain.

Bagaimanapun, beliau masih boleh menebus kesilapan tersebut dengan mempamerkan aksi yang lebih baik dan seterusnya memikat Cheng Hoe untuk disenaraikan dalam skuad Piala Suzuki AFF 2020.

Malah, gandingan Irfan dengan Dominic turut dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan kerana mereka berdua merupakan tonggak pertahanan yang membantu skuad bawah 23 tahun negara mara ke suku akhir ketika saingan Piala Asia B-23 di China pada tahun 2018.

Kelebihan fizikal (180 cm) yang dimiliki oleh kedua-dua pemain ini adalah faktor utama kenapa mereka layak digandingkan semula.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Shahrul Nizam Gagal Lapor Diri Kerana Turun Ke Laut

Fayadh Zulkifli Amin Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Piala Suzuki AFF: Harimau Malaya Jumpa Vietnam Lagi