Peluang pemain tengah, Christian Eriksen yang rebah secara tiba-tiba ketika pertemuan menentang Finland dalam saingan Euro 2020 berikutan serangan jantung, untuk kembali beraksi bersama Inter Milan kelihatan agak tipis pada ketika ini.

Hal ini kerana Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Francesco Braconaro menegaskan bahawa Eriksen hanya dibenarkan beraksi di negara tersebut sekiranya beliau benar-benar disahkan sihat.

Selain itu menurut laporan dikeluarkan Football Italia, antara syarat lain yang membolehkan Eriksen kembali beraksi adalah kecergasannya tidak boleh bergantung dengan alat bantuan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD).

Pada ketika ini, ICD telah diletakkan di dada Eriksen bagi memantau denyutan jantung dan dapat mengesan degupan jantung yang tidak teratur. Alat yang sama turut digunakan oleh pemain Ajax, Daley Blind.

“Secara jelasnya, Christian Eriksen memang tidak boleh diberikan kesempatan untuk beraksi di Itali.”

“Jika pemain tersebut telah membuang ‘defibrillator’ tersebut dan pihak patologi mengesahkan dia sudah sihat, dia boleh dibenarkan kembali beraksi untuk Inter Milan,” ujar Braconaro lagi.

Terdapat peraturan yang cukup ketat di Itali berkenaan siapa yang dibenarkan untuk menjadi atlet profesional dengan ujian tersebut akan dilakukan oleh pihak persekutuan dan bukannya daripada kelab.

Sebelum ini di Itali terdapat satu kes kematian mengejut di dalam padang dimana ia melibatkan pemain tengah Livorno, Piermario Morosini ketika pertlawanan Serie B pada April 2012.

Sementara itu, ketua pasukan Fiorentina, Davide Astori pula meninggal dunia sewaktu tidur pada tahun 2018.

Baca artikel lain mengenai pemain tengah skuad kebangsaan Denmark dan Inter Milan ini:

Rebah Secara Tiba-Tiba, Doa Semua Buat Christian Eriksen

CEO Inter Tembak Puak Antivaksin Tuduh Eriksen Alami Serangan Jantung Kerana COVID Dan Vaksin

Kecewa Kurang Kreativiti, Arteta Mahukan Eriksen