Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) membuktikan aktif bermain bola sepak bukanlah penghalang untuk berjaya dalam bidang akademik apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2020) yang diumumkan hari ini.

Calon 2020 ini disifatkan sebagai generasi hebat berikutan kejayaan mereka mengharungi tempoh sukar sejak penularan wabak pandemik COVID-19 sehingga menduduki peperiksaan awam itu, tahun ini.

Ini terbukti dengan keputusan cemerlang yang diraih oleh pelatih-pelatih di AMD yang bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam peperiksaan SPM 2020.

Menariknya, kesemua mereka ini dan juga pelatih AMD yang lain telah mengikat kontrak bersama dengan kelab-kelab bola sepak profesional tanah air sejak awal tahun ini.

Antara pemain yang mencatat keputusan cemerlang ialah 3 pemain daripada pasukan Selangor FC iaitu Muhammad Haziq (6A), Akmal Izzuddin (6A) dan Muhammad Khairi Suffian (4A).

Seorang lagi pemain dari pasukan UiTM FC, Muhammad Amjad Rifaie turut mencatat keputusan 6A. Dua lagi pemain daripada pasukan JDT iaitu Muhammad Najmudin Akmal dan Muhammad Syukur Fariz masing-masing mencatat keputusan 3A.

Mereka mempunyai masa depan yang cukup baik dalam bidang sukan dan pelajaran. Difahamkan salah seorang daripada mereka akan menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam bidang sains sukan.

Malah, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sendiri mempunyai hubungan kerjasama dengan UiTM Shah Alam sebagai rakan sains sukan rasmi bagi skuad Red Giants.

Kerjasama ini melibatkan beberapa perkara dalam bidang pengajian sains sukan, pemakanan dan nutrisi, analisis prestasi dan sokongan akademik untuk pegawai dan pemain utama Selangor, skuad Selangor 2 serta skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Darren Lok Tekad Bangkit Daripada Kecederaan Dialami

Shivan Pillay Dan George Attram Dipanggil Sertai Sesi Latihan Skuad Utama Selangor

Bryan See Ucap Terima Kasih Kepada PDRM