Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon memilih E.Elavarasan sebagai pembantunya sekaligus menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.

Tinjauan kami di laman media sosial FAM selepas pengumuman ini dibuat mendapati pelantikan Elavarasan sebagai pembantu Pan-gon menerima reaksi yang pelbagai dari peminat bola sepak tanah air.

Ada segelintir peminat kurang bersetuju dengan pemilihan bekas ketua jurulatih PKNS FC dan Sarawak United itu untuk membantu Pan-gon dan berpendapat calon yang lebih muda lebih layak untuk berada dalam staf kejurulatihan pasukan negara.

Selain Elavarasan, dua nama jurulatih muda iaitu Firdaus Tan Abdul Aziz dan Wan Rohaimi turut berada dalam senarai calon yang berminat untuk mengisi jawatan pembantu jurulatih pasukan negara sebelum ini.

Peminat berpendapat dua jurulatih ini sesuai untuk berada dalam skuad kebangsaan kerana mereka merupakan jurulatih muda berpengalaman dan boleh memberikan input terbaik kepada Pan-gon.

Ada juga segelintir peminat yang bersetuju dengan pelantikan E.Elavarasan ini dimana mereka menganggap jurulatih yang mesra dipanggil Ela itu merupakan pilihan sesuai kerana sudah memahami lanskap bola sepak negara selain mempunyai pengalaman luas mengenai pemain dan liga domestik.

Setelah dilantik, Elavarasan akan menyertai Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara itu, seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan-gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap tujuh calon yang berminat.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Hanya JDT Miliki ‘Bespoke Jersey’ Nike Dan Kelab Premium Tunggal Di Rantau Asia Tenggara Ketika Ini

Annuar Musa Lepaskan Jawatan Presiden KL City Atas Faktor Kekangan Masa

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022