Malaysian Football League (MFL) semalam mengadakan Bengkel Economic Control Programme (ECP) bersama Rakan Kongsi Liga di Hotel Tenera, Bangi.

Program ECP ini bertujuan untuk memastikan tahap kewangan pasukan bola sepak Liga Super dan Liga Premier berada dalam keadaan lebih baik dan memiliki pendapatan yang mampan.

LaLiga adalah pengendali Liga Sepanyol yang pertama melaksanakan ECP dalam menyelesaikan masalah kewangan kelab dan kini ECP telah diadaptasi bersesuaian dengan acuan Liga Malaysia selaras dengan Rangka Tindakan Strategik Next50 MFL.

Menurut Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, peraturan baharu yang diperkenalkan pada musim Liga Malaysia 2020 ini adalah bagi memberikan tumpuan kepada aspek peraturan kewangan untuk mengawal dan mendidik pasukan berbelanja secara berhemah.

Tambah Datuk Haji Hamidin, ECP akan terus diperluaskan meliputi bidang lain antaranya peraturan pemilikan pemasaran dan kelab bermula tahun 2021 sehingga 2024.

“MFL telah melantik PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd (PwC) untuk membangunkan peraturan ECP MFL. PwC juga merupakan firma perunding yang dilantik oleh LaLiga untuk membangunkan peraturan ekonomi yang dipelopori di Sepanyol.

“Bengkel ini bertujuan untuk mendidik kelab-kelab mengenai Peraturan-Peraturan ECP musim 2020 untuk memastikan kelab bersedia bagi pelaksanaannya.

“Jadi saya optimis pengenalan ECP dalam Liga Malaysia akan memberikan lebih banyak input positif di mana kelab dikehendaki mengemukakan unjuran pendapatan mereka kepada MFL dalam bentuk belanjawan kewangan bagi memastikan kewangan mereka lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

77239354_3172784032794080_8055850082982952960_o
FOTO: MFL

Bermula musim depan, setiap pendapatan yang dianggarkan oleh kelab wajib dikontrakkan dalam tiga bentuk iaitu pendapatan daripada penaja, geran kontrak daripada kerajaan dan sumbangan modal daripada pemilik kelab.

MFL akan menyemak bajet yang dikemukakan oleh setiap kelab dalam memastikan hasil yang dianggarkan oleh kelab dikontrak dan berulang.

Maksimum 70 peratus jumlah pendapatan kelab boleh dibelanjakan untuk gaji pasukan pertama dan MFL tidak akan membenarkan pendaftaran baharu didaftarkan jika kos pasukan pertama kelab melebihi had ditetapkan oleh MFL.

Ini kerana MFL mahu memastikan bahawa setiap kelab tidak menandatangani pemain yang berada di luar kewangan kelab di mana pengendali Liga Malaysia itu memiliki matlamat untuk mengurangkan atau dapat menghapuskan masalah tunggakan gaji pemain dalam tempoh lima tahun.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan terkini pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

JDT Pulangkan Semula Wang Insentif Kemenangan Piala Malaysia Untuk Pembelian Bot Pembersihan Sungai

Faiz Nasir Kembali Ke Pangkuan Terengganu

Tiada Lagi Kelibat Saddil Ramdani Dan Zubir Azmi Dalam Skuad Tok Gajah Musim Depan