Seperti yang kita semua sedia maklum, kejohanan Copa America akan bermula pada 14 Jun hingga 7 Julai 2019 di Brazil dan 2 pasukan telah dijemput untuk beraksi iaitu Jepun dan Qatar.

Pada 23 Mei yang lalu, ketua jurulatih pasukan Jepun, Hajime Moriyasu telah mengumumkan senarai nama pemain yang terpilih untuk menganggotai skuad Samurai Blue ke Copa America itu nanti.

Apa yang menarik mengenai skuad Jepun kali ini adalah mengenai salah seorang penyerang yang tersenarai adalah seorang pelajar universiti di Tokyo iaitu Ayase Ueda.

Ayase Ueda

VocketFC pernah membuat sedikit ringkasan mengenai pasukan Jepun ke Sukan Asia 2018 yang lalu dimana Ayase Ueda juga berada dalam skuad ini. Baca Perkara Yang Kita Perlu Tahu Mengenai 20 Pemain Jepun U21 Di Sukan Asia 2018 untuk lebih maklumat mengenai pemain.

Ayase Ueda (Penyerang): Bekas penyerang pasukan Kashima Gakuen High School, Ueda Ayase yang kini beraksi bersama Hosei Universiti dalam saingan Liga Universiti Kanto berada di tahun ke 2 pengajian dalam jurusan Sukan dan Kesihatan.

Dengan namanya tersenarai dalam skuad Jepun ke Copa America 2019 itu nanti, menjadikan beliau sebagai pemain pertama dari universiti (status: pelajar) dalam tempoh 9 tahun dipanggil menyertai skuad kebangsaan Jepun selepas kali terakhir berlaku pada tahun 2010 dimana penyerang Nagoya Grampus, Kensuke Nagai (Fukuoka University ) serta Yamamura Kazuya (Ryutsu Keizai University) dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi kelayakan Piala Asia Qatar 2011.

ayase ueda

Mulai tahun 2021, Ayase Ueda sah akan menyertai gergasi bola sepak Jepun, Kashima Antlers sejurus tamat pengajian beliau di Hosei University.

Jika peminat bola sepak Malaysia masih ingat, Ayase Ueda ini adalah pemain yang menjaringkan gol sepakan penalti pada minit ke 90 permainan di Sukan Asia 2018 yang lalu, menyingkirkan Malaysia untuk mara ke pusingan suku akhir.

Dalam saingan Copa America 2019, Jepun akan bertemu dengan Chile, Uruguay dan Ecuador dalam peringkat kumpulan.