Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Namun begitu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa beliau tidak pecah amanah sebaliknya dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM1.3 juta telah disumbangkan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) pada November 2015.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu merupakan Penaung PDRM FA dan peguamnya, Hamidi Mohd Noh mengesahkan dana tersebut telah digunakan untuk meringankan beban kewangan persatuan bola tersebut termasuk tunggakan gaji pemain.

“Kedua-dua pemegang amanah Yayasan Akalbudi datang ke mahkamah dan menegaskan bahawa RM1.3 juta itu bertujuan meringankan keadaan kewangan persatuan bola sepak dan mereka telah membenarkan pembayaran tersebut,” hujahnya di mahkamah, seperti dipetik melalui laporan dalam Awani. 

FOTO: Bernama

Saksi ke-19 pendakwaan, Datuk Zul Hisham Zainal juga memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Akalbudi mengeluarkan cek berjumlah RM1.3 juta kepada PDRM FA bagi membayar tunggakan gaji pemain dan urusan pentadbiran persatuan itu yang tertunggak selama 4 bulan sekitar tahun 2015.

Pada musim 2015, PDRM beraksi dalam saingan Liga Super dan dilatih oleh bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan. Mereka menamatkan saingan liga di tangga ke 6 dengan 35 mata. Malah, pemain import mereka, Dramane Traore muncul sebagai penjaring terbanyak liga dengan rekod 20 gol.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar

Perak Sasar Juara Liga Premier Musim Depan

Tomas Trucha: Peluang Penang Untuk Jadi Naib Juara Liga Super 50-50