Pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23) nampaknya masih belum boleh kembali kepada kelab masing-masing apabila tempoh kuarantin terpaksa dilanjutkan seminggu lagi selepas salah seorang daripada pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.

Perkembangan itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar melalui kenyataan dalam Berita Harian semalam.

Katanya, pegawai terbabit sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin berasingan dengan barisan pemain dan kejurulatihan selepas disahkan positif.

“Semua yang pulang dari Mongolia pada 3 November telah diarahkan menjalani ujian calitan PCR kedua pada 5 November lepas dan seorang daripada mereka didapati positif.

“Pegawai terbabit telah diarahkan menjalani kuarantin di tempat yang berbeza manakala barisan pemain, jurulatih dan pegawai yang lain perlu dilanjutkan tempoh kuarantin yang dijangka berakhir pada hujung minggu ini,” kata Saifuddin dipetik dalam Berita Harian.

FOTO: FAM

Pasukan itu baru pulang dari Mongolia selepas mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 dan berjaya menempah tiket ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan apabila muncul sebagai juara kumpulan dengan rekod tanpa bolos.

Ini adalah kali kedua pasukan negara beraksi dalam saingan peringkat Asia bawah 23 tahun itu selepas edisi 2018 di China ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Ketika itu, Malaysia mempunyai pencapaian yang cukup cemerlang apabila layak ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Dalam saingan kelayakan, Malaysia mencatat 2 kemenangan ke atas Laos (1-0) dan Mongolia (1-0) hasil jaringan Azfar Fikri sebelum seri 0-0 menentang Thailand pada perlawanan terakhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Bawah 23 tahun negara melalui pautan dibawah. 

Malaysia Layak Ke Piala Asia B-23 Dengan Rekod Bersih Tanpa Bolos

Kelayakan Piala Asia B-23: Azfar Terus Jadi Wira Negara Raih Tiga Mata

Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia Lepasi Cabaran Laos