Skuad tok gajah kini boleh menarik nafas lega selepas badan pengendali Liga, Malaysia Football League (MFL) telah memberi kelulusan untuk mengadakan perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Makmur pada musim 2020.

Perkembangan itu disahkan melalui laporan daripada Arena Metro hari ini selepas pegawai MFL berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di stadium berkenaan.

Menurut sumber daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), penekanan utama MFL ialah membabitkan tahap pencahayaan lampu limpah dan padang rumput stadium yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Segalanya sudah selesai dan skuad Pahang boleh bermain di Stadium Darul Makmur dalam saingan Liga M musim ini.

“MFL berpuas hati dengan tahap pencerahan dan rumput untuk memastikan aksi perlawanan berjalan lancar,” katanya.

sdm
Permandangan sekitar Stadium Darul Makmur

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain sebelum ini mengesahkan kerajaan negeri Pahang telah memperuntukkan lebih RM100,000 untuk baik pulih kemudahan dan naik taraf ciri keselamatan di Stadium Darul Makmur.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) bagi memastikan gelanggang rasmi skuad tok gajah itu selamat digunakan.

Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Mohamad Nasir Jusoh berkata, perbadanan itu mempertingkatkan kemudahan di stadium itu sebelum saingan Liga M bermula.

“Peruntukan RM100,000 itu membabitkan kos pemasangan dan penyelenggaraan lampu limpah yang memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan.

“Selain itu, penambahbaikan kemudahan kerusi pemain itu selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh MFL terutama keselesaan,” kata Mohamad Nasir.

Tahun lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) mendedahkan 13 stadium dari seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, lapan stadium ini disahkan mempunyai sijil CCC iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Hang Jebat, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.

Baca lebih lanjut mengenai 13 stadium di Malaysia yang didapati tidak mempunyai sijil layak menduduki daripada pihak berkuasa.

Jabatan Bomba Sahkan 13 Stadium Di Malaysia Tidak Mempunyai Sijil Layak Menduduki