Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di atas tuduhan pecah amanah melibatkan nilai wang berjumlah RM191,298.70.

Dolhan, 49 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad terhadap tiga pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau hari ini. Menurut laporan Dayak Daily, tiga tuduhan kes pecah amanah yang disabitkan terhadap tertuduh ketika menjawat jawatan dalam FAS melibatkan nilai berjulah RM139,920, RM21,378.70, dan RM30,000 yang sepatutnya adalah milik FAS dan kesalahan tersebut dilakukan pada 4 Februari, 13 Februari dan 18 Januari 2017.

Razali Dolhan
Sumber Gambar: FMLLP

Hakim telah menetapkan tarikh 14 Ogos depan untuk urusan pra perbicaraan dan Razali telah dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM8,000 beserta dua penjamin. Razali juga diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap empat hari.

Tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang mana akan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pada April lalu, Presiden FAS, Dato’ Posa Bin Haji Majais yang melakukan laporan terhadap bekas Setiausaha Persatuan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Razali kemudiannya memberi reaksi melalui peguam beliau, Dominic Ng kemudiannya dengan mengeluarkan surat tuntutan permohonan maaf dari Presiden FAS itu, sekaligus mengarahkan kes ditarik balik, selepas melabel tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

Razali melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS pada Januari 2018. Namun beliau kekal sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League sehingga ke hari ini.