Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan memohon maaf kepada para peminat badminton tanah air kerana gagal menghadiahkan kejuaraan Malaysia Masters 2023 yang berakhir pada Ahad lalu.

Pearly dan pasangannya, M.Thinaah mencipta sensasi pada kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu berikutan tahap kecergasan, ketahanan mental dan semangat juang tinggi dipamerkan sepanjang beraksi.

Mereka beraksi lebih satu jam 30 minit pada tiga perlawanan terakhir yang akhirnya meraih tempat kedua selepas tewas di tangan Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada perlawanan akhir.

Meskipun apa yang dijelmakan pasangan ranking nombor 11 dunia itu mendapat pujian ramai, Pearly melihat terdapat ruang buat mereka untuk terus meningkat.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada semua yang mengharapkan kami berada di podium tertinggi. Kami berjanji akan menggunakan pengalaman ini sebagai ‘bahan bakar’ untuk mendorong kami dengan lebih keras.”

“Kepada semua peminat dan penyokong saya yang luar biasa, saya tidak dapat mengicapkan terima kasih yang secukupnya atas tenaga dan motivasi yang luar biasa yang anda bawakan kepada kami sepanjang minggu bersorak dan sorakan anda menyemarakkan saya pada setiap saat ketika beraksi.”

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini,” ujar Pearly Tan dalam satu hantaran penghargaan di laman Instagram peribadi miliknya.