Kelab bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) menuntut Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) memohon maaf selepas membuat kenyataan yang mencalarkan imej pasukan itu tentang kegagalan melangsaikan pembayaran tunggakan gaji pemain.

Menurut pengurus PDRM FA, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, beliau terkejut dengan kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail kerana Izham sendiri dikatakan telah hadir pada majlis penyerahan tunggakan gaji itu bagi 12 pemain musim 2018 yang terlibat pada Februari lalu.

Malah, Kamarul sendiri mempunyai bukti pembayaran yang telah diserahkan kepada pemain-pemain terbabit dan turut menerima surat penghargaan daripada PFAM.

“PDRM sebenarnya tidak terbabit langsung dengan apa diperkatakan PFAM serta terkejut kerana CEO PFAM sendiri ada hadir pada majlis yang kami lakukan menemui pemain-pemain terbabit.

“CEO PFAM memberikan kami surat penghargaan kepada pengurusan PDRM kerana berjaya melangsaikan hutang berdasarkan aduan pemain pada musim 2018.

“Saya ada resit bukti pembayaran kepada pemain-pemain terlibat dan saya hairan kenapa perkara ini boleh timbul balik pada hari ini, jadi saya minta PFAM bagi penjelasan kembali terhadap kenyataan mereka serta jika perlu mohon maaf kepada PDRM, ” katanya.

PDRM
Sumber Gambar: PDRM

PFAM pada Ahad lalu mendedahkan terdapat banyak pasukan masih belum melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM6.4 juta dan dikatakan memungkiri janji membayar secara berperingkat kepada pemain terbabit.

Baca: PFAM Dedahkan 12 Pasukan Mempunyai Tunggakan Gaji Berjumlah RM6.4 Juta

Selain itu, Kamarul melahirkan rasa tersinggung dengan apa diperkatakan Izham yang memperkecilkan Peta Hala Tuju FAM, F30 dan Next50 Strategic Blueprint oleh Malaysian Football League (MFL) susulan isu tunggakan gaji yang berpunca daripada pengurusan pasukan dan kelab berkenaan.

Beliau meminta perkara itu tidak sepatutnya disensasikan kerana aspek tunggakan gaji adalah antara isu yang mahu diatasi FAM dan MFL dalam pelan jangka masa pendek dan panjang mereka.

“Saya amat tersinggung apabila PFAM mempertikai bahawa dasar FAM iaitu F: 30 serta MFL iaitu Next50 tidak akan mana-mana, jadi kepada PFAM tolong kaji kembali apa yang anda perkatakan.

“ Jika perlu, kita semua termasuk FAM dan MFL boleh selesaikan cara baik perkara ini tanpa perlu ada-ada perlu mana-mana pihak berkecil hati, ” katanya.