Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menjelaskan mereka tidak terburu-buru dalam usaha mencari pengganti Irfan Bakti sebagai ketua jurulatih pasukan yang baharu.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menegaskan sehingga kini pihaknya belum membuat sebarang perbincangan bagi mencari pengganti Irfan yang meletak jawatan pada Mei lalu.

Irfan Bakti
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kita tidak bincang apa-apapun lagi setakat ini, spekulasi terlampau hebat.. kita putuskan penolong jurulatih, Nafuzi Zain sebagai pengendali sementara pasukan selepas peletakan jawatan Irfan.

“Selepas beberapa perlawanan, kita akan nilai semula perkara itu dan setakat ini kita akan lihat dulu macam mana prestasi pasukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

PBSNT menerima permohonan daripada beberapa ketua jurulatih dari dalam dan luar negara bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan.

Marian-Mihail
Sumber Gambar: Football Tribe

Bekas pengarah teknikal Romania, Marian Mihail menjadi salah satu pemohon yang menyatakan minat selain Azlan Johar dan bekas ketua jurulatih pasukan T-Team, Rahmad Darmawan dan Tomislav Steinbruckner.

Turut berminat dan sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT ialah bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju Mohamad yang turut memiliki lesen pro A.