Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim mengesahkan khidmat penyerang import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche tidak akan digunakan lagi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Menurutnya, Tchetche atau digelar sebagai “Drogba Terengganu” dalam kalangan peminat bola sepak tempatan telah menolak tawaran kontrak baharu pada minggu lalu dan dikatakan akan menyertai pasukan lain yang beraksi dalam Liga Super.

Terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan juara Piala FA dan finalis Piala Malaysia musim ini, Kedah turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

“Kita telah membuat satu tawaran kepada Tchetche tetapi tiada jawapan, nampaknya dia seperti sudah memiliki pilihan lain. Jadi saya jangkakan Tchetche tidak akan dikekalkan TFC untuk 2020,” katanya.

Selain itu, Hishamuddin turut mengesahkan khidmat pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin, tidak lagi diperlukan dan TFC akan mendapatkan pemain baru bagi kuota pemain import ASEAN.

Lee Tuck
FOTO: Terengganu FC

Tchetche yang beraksi dengan skuad penyu sejak tahun 2017 telah menjaringkan 40 gol dalam 63 penampilan. Beliau dibawa masuk oleh jurulatih terdahulu, Irfan Bakti Abu Salim yang telah meletak jawatan beberapa bulan lalu.

Mengulas mengenai persiapan untuk musim depan, PBSNT memberi kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain untuk mencari tonggak import sekembalinya TFC daripada kejohanan jemputan di Chittagong, Bangladesh minggu ini.

“Persatuan meletakkan kepercayaan kepada Nafuzi untuk membentuk pasukan yang mantap dan mencari pengganti lebih baik.

“Setakat ini, hanya Lee Tuck dan (Sanjar) Shaakhmedov akan kekal bersama TFC,” tambahnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Terengganu FC melalui pautan dibawah. 

Terengganu FC Buru Penyerang Yang Beraksi Di Saingan V-League

Piala Sheikh Kamal: Terengganu FC Tinggal Selangkah Lagi Untuk Bergelar Juara

Terengganu FC Cari Calon Pengarah Teknikal Untuk Liga Malaysia Musim Depan

Sumber