Biarpun sudah mengesahkan slot ke CIMB Liga Super pada musim depan dan layak ke TM Piala Malaysia, Kuala Lumpur masih mahu memburu kemenangan pada perlawanan terakhir bertemu Kuching FA bagi meletakkan pasukan itu muncul naib juara Liga Premier.

Ketua pasukan Kuala Lumpur, Paulo Josue, berkata, mereka sama sekali tidak akan mengambil mudah perlawanan itu yang dijadualkan pada 31 Oktober selain mahu mencari kembali keyakinan sebelum menghadapi kejohanan TM Piala Malaysia yang akan bermula 6 November ini.

Namun, pemain tengah yang berasal dari Brazil ini masih menghormati kemampuan Kuching FA yang disifatkannya berada di prestasi terbaik sebelum perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 9 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan.

“ Kami masih punyai fokus dan serta misi tersendiri pada aksi terakhir itu nanti biarpun di atas kertas, kemenangan itu tidak beri apa-apa kesan terhadap kejayaan kami ke Liga Super musim depan.

“ Cuma tiga mata pada perlawanan terakhir ini boleh meletakkan kami kedudukan yang lebih dihormati iaitu menjadi naib juara Liga Premier dan saya rasa situasi itu diinginkan oleh semua pemain.

“ Walaupun latihan kami ada terkesan serba sedikit ekoran PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), kami tetap mahu berikan yang terbaik dan mahu menang ke atas Kuching FA.

“ Cuma tidak boleh dinafikan ada sedikit kebimbangan melihat kepada kemampuan Kuching FA yang menang empat kali berturut-turut sebelum ini dan mungkin sukar jika kami mahu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan berkenaan, ” katanya.

Kuala Lumpur yang kini berada di tangga ketiga dengan 21 mata perlu meraih tiga mata jika mahu memintas kedudukan pasukan di tangga kedua, Terengganu FC II yang meraih 22 mata.

Jika satu mata sahaja mampu dicapai Kuala Lumpur ketika berdepan Kuching FA dan kedua-dua pasukan terikat 22 mata, Terengganu FC II akan dinobatkan naib juara kerana perbezaan jaringan memihak kepada skuad yang dikendalikan Roshadi Wahab

Josue yang berusia 31 tahun telah bersama Kuala Lumpur sejak pertengahan musim 2017 merupakan antara pemain paling lama bersama pasukan itu dan telah menjaringkan kira-kira 27 gol.

Aksi Kuala Lumpur dan Kuching FA dijangka tetap akan berlangsung pada 31 Oktober dan venue perlawanan berlangsung di Stadium Hang Jebat pada pukul 5.00 petang.

Menyentuh saingan TM Piala Malaysia, Josue tidak berasakan berada dalam Balang Satu yang menempatkan dengan pasukan pilihan akan memberikan banyak perbezaan sebaliknya bergantung kepada prestasi pasukan pada hari perlawanan.

Tambah Josue, berdasarkan format kalah mati, sesiapa sahaja boleh muncul pemenang dan terbuka buat mana-mana pasukan untuk mara yang menjadikan saingan TM Piala Malaysia musim ini dijangka menarik.

“ Berada dalam lapan pasukan pilihan mungkin mengikut pandangan pemerhati ada sedikit memudahkan laluan ke suku akhir namun saingan adalah sama rata dan ini termasuk Kuala Lumpur.

“ Bagi saya semuanya bergantung kepada sesuatu pasukan itu bermain dalam hari tersebut dan saya rasa tidak ada garis pemisah yang besar membabitkan semua pasukan jika mahu mara jauh dalam kejohanan TM Piala Malaysia, “ katanya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Samuel Somerville: “Rasa Bertuah Sertai Pasukan Yang Memiliki Mentaliti Juara Sejak Permulaan Liga.”

Ketua Jurulatih Police Tero FC Jelaskan Faktor Kecergasan Punca Sumareh Tiada Dalam Senarai Pemain

Debut Luqman Hakim Dalam Jupiler Pro League, 16 Minit Aksi Berharga Penyerang Muda Negara