Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue berasa bangga kerana dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada jendela FIFA kali ini.

Sejak mendapat kerakyatan Malaysia pada bulan lalu, ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon tidak membuang masa dan terus memanggil Josue untuk memperkuatkan pasukan negara pada dua aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Ketika ditanya apa perasaan beliau dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat, ketua pasukan Kuala Lumpur City itu nyata gembira dan teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan.

“Saya gembira dan berbangga kerana berada di sini. Saya harap dapat menyumbang kepada negara kerana mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi rakyat tempatan.

“Saya masih lagi cuba untuk memahami gaya Pan-gon. Kami di sini masih dalam proses memahami beliau kerana ramai muka baharu yang dipanggil. Setakat ini semua berjalan lancar,” katanya.

Menurut Paulo Josue, beliau bersedia sekiranya Pan-gon meletakkan beliau dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain simpanan kerana sasarannya ialah memberikan yang terbaik bagi skuad kebangsaan.

“Semua bergantung kepada jurulatih. Kalau beliau mahu saya bermain dalam kesebelasan utama ataupun pada separuh masa kedua, saya hanya mahu beraksi dan memberikan yang terbaik. Saya mahu membantu pasukan, itu fokus utama ketika ini,” tambahnya.

Selain Paulo, seorang lagi pemain naturalisasi yang dipanggil oleh Pan-gon ialah Endrick dos Santos dan kedua-dua pemain bakal bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Kem latihan itu adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!