Skuad kebangsaan Vietnam mendapat pengkhabaran gembira menjelang kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada hujung Disember nanti apabila perancang kreatif, Nguyen Quang Hai dibenarkan untuk menyertai pasukan tersebut.

Perkembangan terkini itu pastinya menjadi berita yang ditunggu-tunggu pengendali Vietnam, Park Hang-seo kerana Quang Hai sebelum ini tidak mendapat pelepasan kelabnya, FC Pau.

FC Pau pada mulanya tidak melepaskan Quang Hai kerana seperti diketahui kejohanan serantau itu berlangsung di luar kalender Persekutuan Bola Sepak Antrabangsa (FIFA).

Bagaimanapun pengurus kelab saingan Ligue 2  itu, Didier Tholot melihat ada kebaikan sekiranya beliau membenarkan Vietnam menggunakan khidmat Nguyen Quang Hai.

“Dengan keputusan terkini yang kami ambil ia membawa maksud Quang Hai akan kekurangan minit permainan tetapi saya masih percaya dengan kualiti yang ada padanya.”

“Apa yang dia boleh berikan dan terutamanya apa yang dia boleh beri kepada pasukan dan membantu kami untuk mencapai sasaran,” ujar Tholot menurut laporan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

“Kami mahu dia bermain penuh dengan skuad kebangsaan, membantu dia untuk kembali dengan lebih kuat dan memainkan peranan penting pada separuh kedua musim ini. 20 perlawanan.”

“Selain daripada skuad ini, saya memandang serius setiap individu dan kesihatan para pemain. Saya tahu bagaimana pentingnya Piala AFF buat Nguyen Quang Hai serta betapa pentingnya dia buat skuad kebangsaan Vietnam.”

“Saya mengucapkan selamat maju jaya,” tambah Tholot lagi.

Vietnam yang merupakan juara edisi 2008 dan 2018 telah diundi dalam kumpulan B bersama-sama Malaysia, Myanmar, Singapura dan Laos.

Mengikut perancangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, Quang Hai akan mula menyertai skuad kebangsaan Vietnam pada 15 Disember sehingga tamat perjuangan dalam kejohanan tersebut.

Quang Hai menyertai Pau FC dengan kontrak selama kontrak dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkan untuk tempoh setahun lagi sekaligus berpeluang beraksi di Eropah dalam tempoh yang lama.

Sumber