Ketua jurulatih skuad Selangor TOT United, Patt Sriwijit mengakui anak buahnya mampu untuk menjadi pemain yang baik sekali gus boleh diketengahkan ke skuad futsal kebangsaan.

Berhijrah daripada kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi pada Disember, Patt melihat barisan pemain muda TOT United mempunyai potensi besar untuk digilap bakat mereka.

Antara pemain muda yang bakal menggalas cabaran Selangor TOT United pada musim ini ialah Iqhmal Najmie Ismail, Haiqal Hasnor, Amirul Radzi, Kairul Sukri, Shamil Azmi, Mohd Taufik, Imran Khairi dan Taufik Wahab.

“Selepas hampir sebulan saya berada di sini, saya merasakan Malaysia merupakan negara yang bagus dimana ramai peminat memberikan sokongan walaupun hanya pada perlawanan persahabatan”.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” ujar Patt ketika ditemui wakil Vocket FC.

“Kelihatan ramai peminat datang ke gelanggang. Begitu juga dengan hantaran-hantaran di laman Instagram untuk mempromosikan sesuatu perlawanan melibatkan TOT United.”

Haiqal Hasnor. Kredit Foto: Aremilworks

“Untuk pasukan kami, saya mahu menitikberatkan kepada sesi latihan. Saya tahu bahawa pasukan kami beberapa orang pemain hanya boleh menjalani sesi latihan pada waktu malam kerana pada siang hari mereka perlu bekerja.”

“Keadaan itu membuatkan para pemain terpaksa menghadapi bebanan tinggi ekoran komitmen kerja. Kadang-kadang keadaan itu membuatkan mereka tidak dapat memberikan 100 peratus kualiti.”

“Sehubungan dengan itu, kami perlu untuk memberikan tumpuan khusus dan bekerja keras ketika sesi latihan pada sebelah malam.”

“Untuk pemain saya, ramai pemain kami merupakan pemain-pemain muda. Mereka boleh mempelajari banyak perkara untuk terus meningkat.”

“Saya merasakan pasukan ini mempunyai ramai pemain muda yang boleh diserapkan ke skuad kebangsaan Malaysia. Untuk menjadi perintis kepada generasi baharu dalam pasukan negara,” tambah Patt Sriwijit lagi.