Pasangan beregu semakin meningkat naik yang dikenali sebagai ‘Patatimo Boys’, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri terpaksa menerima tempias ekoran perpisahan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani.

Hal ini kerana Haikal secara rasminya akan digandingkan bersama Nur Izzudin manakala Wan Muhammad Arif pula akan berpasangan dengan seorang lagi pemain muda, Yap Roy King.

Sementara itu pemain beregu campuran yang berusia 22 tahun, Choong Hon Jian akan menjadi gandingan baharu buat Sze Fei.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menurut sumber video di laman Twitter wartawan sukan TV3, Syakirah Zulkifly.

“Untuk pasangan ini memang sesuatu yang saya perlu berterus terang ia membuatkan saya pening, sakit kepala kerana setiap pasangan itu ada perancangan untuk menghantar mereka ke mana-mana pertandingan.”

“Tetapi pada saat akhir perkara ini terjadi, kita boleh katakan bahawa ego pemain itu akan menjadi satu keputusan yang perlu kita ambil.”

“Untuk pasangan [baharu] itu kita sudah boleh sahkan bahawa Izzudin akan berpasangan dengan Haikal, Goh Sze Fei dengan Hon Jian. [Wan] Arif memang ada dua nama tetapi untuk setakat ini berada dalam pemikirannya dia sudah memilih Roy King.”

Menurut Rexy, barisan kejurulatihan skuad beregu negara akan memberikan kesempatan kepada ketiga-tiga pasangan tersebut untuk beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Thailand (7 hingga 12 Mac), China Masters (14 hingga 19 Mac) Cabaran Antarabangsa Vietnam (21 hingga 26 Mac), Cabaran Antarabangsa Osaka (29 Mac hingga 2 April).

Jurulatih kelahiran Indonesia tersebut mengharapkan pasangan yang baharu sahaja digandingkan itu dapat membuktikan kemampuan untuk mampamerkan aksi terbaik mereka.

Haikal dan Izzudin yang pertama kali digandingkan ketika Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 di Ipoh pada Disember lalu beraksi cemerlang untuk muncul juara selepas menundukkan Goh Boon Zhe-Goh Sze Fei.