Setelah menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 2019 baru-baru ini, pasukan negara yakin mampu untuk memberi saingan dalam kempen kelayakan untuk Kejohanan AFC B-16 2020 di Laos dari 18 hingga 22 September nanti.

Penyerang negara, Mohamad Khairil Mohd Zain berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian semasa yang diraih serta semangat berpasukan yang tinggi.

Khairil berkata: “Insya-Allah boleh tewaskan Jepun, kebanyakan (pemain) pasukan kami ini semua ada inspirasi nak lawan, komitmen, percakapan semua ada dalam team ini.

“Jepun adalah gergasi Asia dan kami percaya dengan team yang ada, insyaAllah kami boleh ‘makan’ Jepun,” katanya menurut laporan Utusan.

Seorang lagi pemain, Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar turut bersetuju dengan Khairil namum pemain pertahanan itu menegaskan pasukan negara tidak boleh memandang rendah kekuatan yang dimiliki oleh pasukan The Blue Samurai itu.

Malaysia U16
Sumber Gambar: FAM

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Kemboja dan Laos yang merupakan pasukan tuan rumah bagi kempen kelayakan peringkat kumpulan itu.

Dalam kejohanan AFC B-16 yang berlangsung pada tahun lalu, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah dan diundi dal kumpulan A bersama Jepun, Thailand dan Tajikistan.

Skuad bimbingan Lim Teong Kim bagaimanapun gagal untuk mara ke peringkat kalah mati apabila sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan mencatatkan satu kemenangan dan tewas dua perlawanan.