Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penundaan perlawanan CIMB Liga Super 2020 diantara pasukan Kedah menentang Melaka.

Perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini (2 Oktober 2020) telah dipinda pada Ahad (4 Oktober 2020) selepas menerima permohonan daripada pasukan Melaka.

Menurut Ab Ghani, keputusan itu dibuat kerana pasukan Melaka kini sedang menjalani proses kuarantin daripada penularan wabak COVID-19 selepas pulang dari Sabah bermula 28 September lalu.

Selaras pematuhan Operasi Standard Prosedur (SOP) COVID-19 Liga Malaysia, beliau menjelaskan bahawa perubahan tarikh perlawanan ke-10 liga itu bagi membolehkan Melaka memiliki tempoh masa melakukan persiapan memandangkan mereka hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan sebaik mendapatkan keputusan ujian COVID-19, esok.

“Saya telah dimaklumkan daripada pihak Melaka bahawa pasukan mereka telah menjalani kuarantin di hotel berdekatan Bandar Melaka selama tiga hari di mana mereka telah menjalani dua ujian calitan COVID-19 pada 27 dan 29 September lalu.

“Keputusan ujian COVID-19 pada 29 September itu akan dikeluarkan esok dan kemudian Melaka akan dibenarkan untuk memulakan latihan selepas mendapat keputusan ujian saringan itu.

“Jadi, MFL telah menilai dan mengambil setiap pertimbangan daripada pasukan Melaka yang memohon mendapatkan masa rehat yang cukup serta menjalani latihan dan MFL telah bersetuju untuk meminda tarikh aksi CIMB Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu pada Ahad ini.

“Keputusan untuk meminda tarikh perlawanan ini juga turut mendapat persetujuan Kedah yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta memahami kesukaran yang dihadapi Melaka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kesemua pasukan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian Liga Malaysia sentiasa dalam keadaan terjamin.

“Saingan CIMB Liga Super semakin hampir ke kemuncak jadi saya berharap agar semua pasukan terus meningkatkan tahap pematuhan SOP untuk kita sama-sama mengekang penularan pandemik COVID-19. Kita semua tidak boleh leka kerana kita belum bebas daripada ancaman wabak ini.

“Bersama-sama kita terus berdisiplin mematuhi SOP COVID-19 dan berdoa untuk kesejahteraan kita semua,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat

Shahrel Fikri Mahu Buktikan Penyerang Tempatan Mampu Tandingi Penyerang Import

Pusat Latihan Berbumbung Milik The Red Warriors Bakal Dibina Dengan Bajet RM10 Juta