Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan juara Liga Perdana Inggeris 2018/2019, Manchester City berminat untuk membeli sebuah pasukan Liga Malaysia dalam masa terdekat.

Menurut Syed Saddiq, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berbincang dengan delegasi Manchester City yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ferran Soriano ketika kedua-dua pihak bertemu di Menara KBS semalam.

KBS menyasarkan kerjasama bersama Manchester City dapat memberikan impak positif khususnya kepada pembangan akar umbi yang melibatkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

syed saddiq

Minat City untuk membeli pasukan dari Liga Malaysia lantas mencetuskan persoalan di kalangan peminat bola sepak tanah air tentang pasukan mana yang akan dibeli oleh juara bertahan EPL itu. Nama Petaling Jaya City FC menjadi sebutan kerana pasukan itu kini dimiliki oleh Qi Group.

Petaling Jaya City
Sumber Gambar: Goal.com

QI Group merupakan rakan kerjasama Manchester City dan tidak mustahil PJ City menjadi pasukan yang akan dibeli oleh antara kelab terkaya di Eropah itu.

Apa yang pasti, jika benar kelab yang dimiliki oleh City Football Group itu membeli pasukan dari Malaysia, maka perkara yang harus dimanfaatkan ialah kepakaran yang dimiliki oleh kelab tersebut bagi membantu meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.