Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali memberi amaran kepada pasukan atau kelab Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain daripada skuad Malaysia B-18 agar tidak meletakkan mereka di bangku simpanan semata-mata.

Terdahulu, saham pemain muda negara tiba-tiba meningkat selepas muncul sebagai naib juara kejohanan AFF B-18 di Vietnam baru-baru ini apabila telah mendapat tawaran daripada sebuah pasukan profesional yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Khalid juga menyifatkan pemain muda yang ada ketika ini lebih berkualiti daripada sebelumnya dan perlu diberi minit permainan yang banyak supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain hebat untuk skuad kebangsaan.

“Pada pengamatan saya, mereka jauh lebih baik berbanding pemain sedia ada dalam beberapa pasukan di negara ini. Cuma mereka perlu digilap lebih lagi dalam sesi latihan. Yang penting jangan peram mereka,” katanya dalam Sukan Sinar.

68653248_2334057590024325_6566246409870245888_o
FOTO: FAM

Beliau turut menafikan dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan barisan pemain muda negara akan ‘rosak’ sekiranya dibiarkan bermain dalam saingan Liga Malaysia.  Menurutnya, saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini sudah berbeza dan berada pada tahap tertinggi jika dibandingkan dengan liga di beberapa buah negara Asia Tenggara yang lain.

“Saya bermain untuk Selangor dulu pun masa berumur 17 tahun. Daripada situ, saya dapat bermain dan menimba pengalaman. Malah, kalau nak diikutkan liga sekarang lebih baik dan profesional berbanding dahulu.

“Tak timbul isu pemain-pemain terbabit akan rosak jika mereka dijaga dengan baik. Sebab itu, peranan dan ketegasan FAM dalam melepaskan pemain-pemain ini perlu ada,” jelasnya.

68453784_2334152230014861_1652094513692278784_n
FOTO: FAM

Khalid juga mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat garis panduan bagi memastikan kebajikan para pemain serta peluang mereka berada dalam kesebelasan utama pasukan terjamin.

“Pasukan-pasukan tempatan atau mana-mana kelab ini perlu mematuhi garis panduan tersebut dan jika gagal, FAM boleh memanggil kembali pemain tersebut.

“Bagi saya, pemain-pemain ini perlu bermain dalam saingan Liga Super untuk meraih pengalaman dan mengembangkan bakat mereka. Namun, dalam hal ini, FAM kena tegas menyediakan garis panduan bagi memastikan mereka dapat waktu bermain bersama kelab tersebut.

“Jika pasukan atau kelab itu tidak bersetuju, maka (FAM) jangan lepaskan mereka. FAM perlu memantau mereka kerana mereka ini adalah aset negara dan pemain yang akan menyarung jersi skuad senior negara pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel lain berkaitan skuad Malaysia B-18

Pemain Skuad Malaysia B-18 Jadi Buruan Pasukan Liga Super

Bojan Hodak Anggap Skuad Malaysia B-18 Masih Jauh Ketinggalan

Jaringan Harith Haiqal Bawa Malaysia Mara Ke Final AFF B-18

Sumber