Dalam usaha memastikan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) menjadi lebih kompetitif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk membenarkan setiap pasukan yang bertanding mengambil dua pemain import mulai musim 2023.

Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin beberapa hari lepas.

Sebelum ini, FAM telah membenarkan slot seorang pemain import dalam pasukan-pasukan MPFL bermula musim 2020. Penambahan seorang lagi pemain import bakal menjadikan saingan liga lebih sengit.

Bagaimanapun, setiap pasukan diingatkan salah satu slot pemain import perlu diisi oleh pemain dari negara Asia. Manakala satu lagi slot boleh diisi oleh pemain dari mana-mana negara.

Peraturan ini sekaligus membuka peluang kepada setiap pasukan untuk membawa masuk pemain berkualiti dari negara ASEAN seperti Vietnam, Thailand, Indonesia serta gergasi Asia seperti Iran dan Jepun.

Futsal Malaysia

Saingan MPFL 2023 bakal berlangsung dari Februari hingga Julai tahun hadapan. Lapan pasukan terbaik liga kemudiannya bersaing dalam kejohanan Piala Futsal Malaysia (MFC).

Pertandingan ini akan diadakan selepas tamat saingan liga serta memberi laluan terlebih dahulu kepada kejohanan antarabangsa (AFC/AFF).

Manakala saingan MPFL 2023 bagi kategori wanita dijangka bermula pada bulan Mei 2023, selepas Hari Raya Aidilfitri. FAM turut bersetuju membenarkan pasukan-pasukan wanita MPFL mengambil seorang pemain import dari mana-mana negara.

Saingan liga MPFL kali ini turut menampilkan pendatang baru, Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini selepas Harimau Selatan mengumumkan pembentukan pasukan futsal untuk MPFL tahun hadapan.

Suatu ketika dahulu, Johor pernah dianggap sebagai salah satu kuasa besar futsal di Malaysia, namun sejak 15 tahun lalu iaitu selepas muncul juara Liga Futsal Kebangsaan 2007, pasukan ini tiba-tiba hilang daripada peta futsal tanah air.

Malah, negeri itu sendiri mempunyai ramai bakat yang hebat dalam sukan Futsal kerana kebanyakan pemain futsal kebangsaan berasal dari Johor seperti Saiful Nizam (Pahang Rangers), Azri Rahman (Selangor MAC) dan Ekmal Shahrin (Selangor Mac).

Johor juga pernah muncul sebagai juara futsal SUKMA pada tahun 2011 selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Kehadiran semula pasukan futsal JDT bakal memberikan saingan sengit dalam Liga Futsal Malaysia musim depan terutama kepada dua pasukan gergasi seperti Selangor Mac dan Pahang Rangers.