Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diramal akan merangka satu perlawanan persahabatan untuk pasukan kebangsaan sebelum menghadapi Indonesia pada perlawanan pertama Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 5 September ini.

Pada mulanya, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal September ini. Namun, perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan memandangkan UAE berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dalam saingan kelayakan.

Berdasarkan jadual perlawanan, Syria, Yaman dan Hong Kong akan ke rantau Asia Tenggara untuk aksi pertama sekaligus menjadi pengganti yang ideal kepada UAE. Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan menghubungi pasukan berkenaan.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: FAM

“Sebelum ini (perlawanan menentang UAE) dibuat kerana kita belum tahu dimana perlawanan pertama. Dengan adanya undian ini, sekarang kita boleh berhubung dengan pasukan tertentu sebelum mereka bermain di negara Asia Tenggara lain.

“Perlawanan persahabatan ini akan diadakan di sini. Terpulang kepada pasukan berkenaan tetapi saya harap mereka boleh bermain dengan kita,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Keputusan undian WCQ-01

Pada undian yang diadakan di AFC House semalam, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama UAE dan tiga lagi seteru di rantau Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Malaysia akan bertandang ke Indonesia bagi menghadapi perlawanan pertama peringkat kelayakan dan pertembungan ini dijangka panas berdasarkan rekod serta sejarah kedua-dua pasukan pada perlawanan lampau.