Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bakal menubuhkan pasukan ‘feeder’ yang akan menjadi platform terbaik untuk pemain-pemain muda mendekati karier profesional dalam dunia bola sepak.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mahu melihat Kuala Lumpur mempunyai ramai pemain pelapis yang boleh diharapkan untuk diserap masuk dalam skuad utama pada masa yang akan datang.

Jelasnya, pasukan pembangunan ini berfungsi untuk memastikan pemain muda mendapat lebih banyak peluang beraksi dalam saingan kompetitif dan mengelakkan daripada memanaskan bangku simpanan semata-semata.

Berdasarkan perancangan badan induk itu, pasukan ‘feeder’ yang dinamakan sebagai Kuala Lumpur II ini akan beraksi dalam saingan Liga M3 pada musim depan.

“Kita telah melihat dari pelbagai sudut sebelum meluluskan penubuhan pasukan tersebut. Perkara pertama dilihat adalah impak serta keberkesanan dalam pembangunan para pemain ibu kota.

“Namun dalam perancangan tersebut kita terpaksa menunggu pengesahan untuk bermain dalam Liga M3 daripada pihak Amateur Football League (AFL),” jelasnya dalam kenyataan rasmi di laman web KLFA.

Nokman Mustaffa
FOTO: Stadium Astro

Dalam pada itu, Nokman berharap permohonan untuk beraksi di Liga M3 diluluskan dan dipertimbangkan dengan sebaik mungkin oleh pengendali liga, Malaysia Football League (MFL).

“Segala persiapan telah dilakukan oleh pihak persatuan termasuk peruntukkan pasukan ‘feeder’, padang latihan, menandatangi pemain serta pemilihan pemain yang akan ditawarkan kontrak.

“Kami perlu mengorak langkah dengan meningkatkan lagi program pembangunan akar umbi bagi memastikan lebih ramai pemain berkebolehan membarisi skuad utama pada masa akan datang,” katanya.

Musim ini, Kuala Lumpur menghuni kedudukan dua tercorot Liga Super lalu diturunkan pangkat ke Liga Premier musim depan. Mereka tekad memastikan pasukan itu kembali menyertai Liga Super pada tahun 2021 dan berada dalam kelompok 4 teratas.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia untuk musim 2020 melalui pautan dibawah.

Skuad The Red Warriors Diuruskan Oleh Syarikat After Image Pada Musim Depan

Mukhairi Ajmal Sah Sertai Pasukan Selangor

Matthew Davies Tidak Akan Sertai Pasukan Lain, Masih Setia Dengan Pahang