BG Pathum United semalam mengumumkan tiket perlawanan Thai League 1 menentang Buriram United pada hari sabtu ini sudah habis dijual. Ia adalah rekod terbaharu sejak liga tersebut dibenarkan bersambung semula.

Difahamkan, hanya 6000 penyokong sahaja boleh menyaksikan perlawanan itu memandangkan kerajaan Thailand membenarkan kemasukan penonton sebanyak 25 peratus daripada jumlah kapasiti stadium.

“Tiada lagi jualan tiket untuk penyokong tuan rumah dan pasukan pelawat, hanya pemegang pas khas dan pas bermusim sahaja boleh menghadiri perlawanan itu.

“Untuk penyokong lain, kami memohon kerjasama tidak hadir ke stadium untuk tujuan keselamatan dan membendung penularan wabak COVID-19,” kata kenyataan daripada BG Pathum.

Sejak bulan lepas, kerajaan negara itu membenarkan mereka hadir ke stadium menonton perlawanan Thai League dengan syarat mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Antara SOP yang wajib dipatuhi oleh semua penyokong tersebut ialah memakai mask dan kedudukan tempat duduk di dalam Stadium dijarakkan 1 hingga 2 meter.

BG Pathum kini menghuni kedudukan teratas Thai League 1 dengan 19 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 7 perlawanan manakala Buriram United berada di kedudukan ke 9 dengan 10 mata.

Perlawanan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak di negara itu kerana Buriram United merupakan bekas juara liga bagi merebut slot ke AFC Champions League 2021.

Thailand menerima 4 slot ke saingan AFC Champions League musim 2021 dimana, 2 pasukan teratas akan layak terus ke peringkat kumpulan dan baki 2 lagi slot adalah diperingkat kelayakan Play-Off II serta tiada slot untuk Thailand dalam saingan AFC Cup.

Selain itu, pihak FA Thailand telah memutuskan untuk menggunakan kedudukan pasukan ketika separuh musim untuk menentukan pasukan mana yang akan menerima 4 slot diatas dan bukan kedudukan pada akhir musim kerana saingan Thai League hanya akan tamat pada bulan Mei 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Dang Van Lam Dalam ‘Class’ Tersendiri Berbanding Penjaga Gol Lain Dalam Thai League. – Marquinhos Goleiros

Vietnam Hantar Skuad B-22 Ke Eropah Beradu Kekuatan Dengan Jepun, England Dan Perancis

Thanawat Suengchitthawon Jaringkan Gol Pertama Bersama Leicester City