Bekas pemain tengah Arsenal, Ray Parlour optimis skuad muda yang dimiliki The Gunners mempunyai kualiti baik untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 di kedudukan empat pasukan teratas.

Malah, beliau turut memuji sumbangan berkesan ditampilkan barisan pemain muda yang dilihat menambah kekuatan kelab tersebut.

Selepas mempamerkan aksi goyah ketika mengharungi fasa awal musim, skuad kendalian Mikel Arteta itu semakin menunjukkan peningkatan sekali gus mereka kini menjadi salah sebuah pasukan yang memburu slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23.

Arsenal kini telah meraih 45 mata untuk menghuni tangga keenam, dibezakan dengan defisit jaringan berbanding West Ham United [tangga kelima] dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Manchester United yang berada di kedudukan keempat.

Lebih menarik, kelab yang berpangkalan di London itu masih kekurangan tiga perlawanan berbanding Manchester United dan West Ham United.

“Ia [Arsenal] sebuah pasukan muda yang bagus. Sekiranya mereka berkembang seperti dahulu, mereka mempunyai peluang yang cerah untuk kembali ke kedudukan empat pasukan teratas.”

“Terdapat beberapa perlawanan besar yang menanti, bertemu Chelsea di gelanggang lawan, Tottenham juga di laman lawan, Manchester United, semua pasukan yang akan berada di kedudukan itu [empat teratas].

”Arsenal telah berada dalam kedudukan yang baik,” ujar Parlour menurut sumber laporan Goal.

“Akademi sentiasa menjadi sesuatu yang penting. Melihat pemain yang tampil seperti Emile Smith Rowe, Bukayo Saka dan juga Martin Odegaard, mereka semua sangat muda. Aaron Ramsdale juga sangat muda.”

“Kemudian mereka ada Ben White. Sekiranya anda melihat purata pemain di bahagian pertahanan, ia 24, 25 tahun. Jadi, sekiranya mereka boleh terus meningkat dan patuh kepada jurulatih dan melakukan apa yang dia katakan, maka diharapkan mereka akan berjaya,” tambah Parlour lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Abramovich Sah Bakal Lepaskan Chelsea, Hasil Penjualan Akan Didermakan Kepada Mangsa Perang Di Ukraine

Jesse Marsch Dilantik Pengganti Bielsa Bimbing Leeds United

Malaysia Airlines Diumumkan Sebagai Rakan Penerbangan Rasmi Liga Malaysia 2022

Sumber