Sulaiman

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo yakin pasukannya akan melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA 2021 apabila dijadualkan bertemu Malaysia B-23 di peringkat separuh akhir malam ini.

Ini kerana beliau dan barisan pembantunya sudah mengkaji dengan lebih mendalam setiap kelemahan serta kekuatan pasukan Malaysia termasuk menghantar pengintip untuk menyaksikan setiap perlawanan di peringkat kumpulan.

“Malaysia bermain dengan formasi 3-4-3. Pemain tengah dan sayap akan naik atas membantu jentera serangan. Mereka juga cukup berbahaya dengan hantaran pendek di bahagian tengah.

“Sebelum perlawanan, kami telah membuat kajian bagaimana cara untuk menewaskan pasukan ini. Perancangan sudah ada. Mental dan fizikal pemain perlu berada dalam keadaan terbaik. Kami sudah bersedia untuk menentang Malaysia,” kata Park Hang seo dalam sidang media semalam.

FOTO: VFF

Park Hang-seo juga mahu barisan pemainnya merantai pergerakan dua penyerang Malaysia yang beraksi dengan kelab luar negara iaitu Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim.

“Saya tahu daripada 20 pemain Malaysia yang beraksi di Sukan SEA, kebanyakannya bermain dalam liga domestik. Hanya dua orang sahaja yang beraksi di luar negara.

“Saya tahu pemain bernombor 10 (Luqman Hakim) kini bermain di Belgium. Bagaimanapun, beliau jarang beraksi dalam kesebelasan utama tetapi pemain seperti ini cukup berbahaya.

“Seorang lagi ialah pemain yang bernombor 9 (Hadi Fayyadh) yang bermain dengan kelab divisyen tiga Jepun. Saya hanya tahu maklumat tentang dua pemain ini. Kami juga telah mengkaji corak permainan dua pemain ini dan mencari jalan penyelesaian untuk merantai mereka,” katanya.

Berdasarkan perancangan awal, beliau sebenarnya membuat persiapan untuk bertemu Thailand di separuh akhir namun tidak menyangka dijadualkan menentang Malaysia. Malah, kajian terhadap dua pasukan ini sudah pun dilakukan lebih awal.

“Kalau anda tengok situasi dalam kumpulan B, saya dan pembantu meramalkan Malaysia dan Thailand akan ke separuh akhir. Saya juga terfikir Vietnam mungkin akan bertemu Thailand di separuh akhir tetapi bola sepak adalah sukan yang sukar untuk diramalkan.

“Saya tidak berpeluang untuk menonton semua perlawanan kumpulan B tetapi kami telah menghantar pembantu jurulatih untuk kaji corak permainan pasukan ini. Sama ada bertemu Malaysia atau Thailand, kajian taktikal terhadap dua pasukan telah pun selesai,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Sukan SEA: Malaysia Nyaris Jadi ‘Lauk’ Kemboja

Tiket Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Sudah Mula Dijual

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group