Wabak pandemik COVID-19 telah menyebabkan semua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala AFF Suzuki 2020 ditangguhkan ke tahun depan.

Ia bermakna jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo tiada tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Vietnam sehingga penghujung tahun ini.

Disebabkan itu, beberapa wartawan Vietnam mula mempertikaikan kewajaran beliau dibayar gaji yang tinggi ketika tiada mana-mana kejohanan penting yang perlu dihadapi.

“Pada pendapat anda, saya patut buat apa?,” katanya dalam keadaan tidak gembira dengan soalan ‘panas’ yang diajukan oleh media tempatan tersebut.

“Saya tahu situasi sekarang agak sukar tetapi kalau masalah berkaitan gaji, saya kena tandatangan semula kontrak baharu. Saya ada banyak lagi kerja lain yang perlu dilakukan dan masih menyumbang pada pembangunan akar umbi.

“Kalau anda mempunyai masalah dengan bayaran gaji itu, agen saya dan wakil Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) perlu duduk berbincang untuk menyelesaikan isu ini,” katanya seperti dipetik dalam Nguoi Lao Dong

Park
Park Hang-seo

Bekas pembantu Guus Hiddink itu menerima gaji yang cukup mahal iaitu USD50,000 atau RM217,000 sebulan. Bayaran tersebut bukan datang daripada kantung kewangan VFF tetapi sumbangan daripada beberapa syarikat swasta yang menjadi rakan rasmi kepada VFF.

Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak Februari telah menjejaskan ekonomi negara itu dan memberikan kesukaran kepada syarikat tersebut untuk terus memberi sumbangan penajaan kepada VFF sekaligus membawa kepada cadangan pemotongan gaji jurulatih itu.

Ketika ini, semua kelab V-League telah melaksanakan pemotongan gaji walaupun saingan liga domestik itu telah dihentikan buat sementara waktu. Situasi itu menyebabkan peminat bola sepak Vietnam masih tertanya-tanya apakah gaji jurulatih skuad kebangsan turut dipotong.

Mereka bimbang akan kehilangan khidmat Park Hang-seo yang telah banyak membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan Vietnam di pentas antarabangsa.

“Saya orang asing yang datang bekerja di Vietnam. Saya mempunyai harga diri. Sekiranya saya masih mengadu mengenai masalah ini, ejen saya mungkin perlu duduk bersama VFF, berunding untuk menandatangani semula kontrak. Sudah tentu, saya akan bercakap dengan VFF sekiranya kami rasa perlu,” jelasnya.

Teruskan membaca 3 artikel padu dibawah yang dipilih untuk anda.

Bojan Hodak Saran Luqman Bina Otot Untuk Jadi Seorang Penyerang Yang Kuat

Tabloid UK Ini Dedahkan Jepun Akan Adakan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Bulan September.

Komen Merapu Netizen Malaysia Di Facebook KV Kortrijk Memalukan