Skuad kebangsaan Vietnam tekad buru 3 mata penuh apabila dijadualkan bertemu Singapura dalam perlawanan ketiga kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric di Stadium Jalan besar malam ini.

Kemenangan amat penting bagi pasukan tersebut untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir lebih awal selaku juara kumpulan.

Bagaimanapun, mereka berdepan sedikit cabaran apabila terpaksa beraksi di atas padang tiruan dimana bola akan bergerak lebih laju kerana permukaannya lebih keras.

Mengulas mengenai isu tersebut, pengendali Vietnam, Park Hang Seo menegaskan anak buahnya tiada masalah beraksi di atas padang tiruan cuma beliau tidak faham kenapa Singapura tidak mahu beraksi di Stadium Nasional yang memiliki rumput jenis Zeon Zoysia.

“Singapura mempunyai stadium yang cantik dengan rumput terbaik. Kami pernah beraksi di sana (Stadium Nasional) tahun lepas.

“Cuma saya tak faham kenapa mereka membuat keputusan untuk beraksi di atas padang sintetik dalam kejohanan AFF kali ini. Pemain mudah cedera apabila beraksi di atas padang sebegini.

“Ada beberapa pemain Vietnam mempunyai pengalaman beraksi di atas padang tiruan sejak kecil dan ada juga yang tidak pernah langsung.

“Tetapi kami tiada masalah dan terpaksa menyesuaikan diri. Saya tidak begitu pakar dan akan berbincang dengan pemain mengenai apa jenis kasut yang boleh dipakai untuk beraksi di padang ini,” katanya Park Hang Seo dalam kenyataan rasmi VFF.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Singapura, mereka sudah bersedia untuk berdepan pasukan yang sering mengamalkan corak permainan bertahan dan tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

“Kemenangan sentiasa menjadi matlamat utama pasukan walaupun beraksi di tempat lawan.

“Saya tidak nampak perbezaan dari segi persiapan kerana Singapura pun baru pulang dari Loas manakala kami pula tiba dari Hanoi. Saya mahukan keputusan terbaik.

“Singapura sentiasa bermain corak bertahan dan memiliki pemain yang laju di bahagian serangan. Vietnam perlu lebih bersedia menghadapinya,” jelas Park Hang Seo.

Jika Vietnam berjaya menewaskan Singapura, Malaysia wajib menang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 3 Januari 2023 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.