Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pengendali dari Korea Selatan, Park Hang Seo menafikan khabar angin yang menyatakan beliau telah menerima tawaran daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi melatih pasukan kebangsaan negara itu.

Artikel Berkaitan:

Park Hang Seo kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas menamatkan tugasan terakhirnya bersama Vietnam dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 minggu lepas.

Beliau secara rasmi meninggalkan Vietnam setelah lima tahun mengendalikan skuad senior dan B-24 Tahun negara itu dan beliau tidak merancang untuk bersara dalam masa terdekat.

Bercakap kepada media Korea Selatan, YTN, Park Hang Seo menegaskan beliau tidak akan menggantikan tempat Shin Tae Yong sebagai ketua jurulatih Indonesia.

“Ia tidak akan terjadi. Shin Tae Yong telah lakukan kerja yang bagus di sana. Saya tidak pernah terfikir untuk menggantikannya,” katanya dipetik dalam laporan Bongdaplus. 

Hubungan dua jurulatih dari Korea Selatan itu dikatakan kurang baik ketika saingan Piala AFF berlangsung. Malah, Shin Tae Yong dilihat enggan bersalaman dengan Park Hang Seo selepas tamat perlawanan separuh akhir di antara Vietnam menentang Indonesia.

“Hubungan kami sudah baik sekarang, walaupun berada di Korea. Kami hanya menjadi musuh di atas padang untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan masing-masing.

“Kami rakan senegara. Bekerja di luar negara. Jadi, tiada sebab untuk bermusuhan dan kami selalu menghormati satu sama lain. Ianya tidak kisah menang atau kalah, kami hanya mahu menamatkan perlawanan dengan normal,” jelas Park Hang Seo.

Pengendali berusia 64 tahun itu akan memutuskan hala tuju beliau selepas ini dalam masa terdekat setelah melakukan perbincangan bersama keluarganya.

Bagaimanapunn, Park Hang-seo turut menegaskan beliau menolak sekiranya ada tawaran dari Korea Selatan ataupun Vietnam kerana sudah pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

“Saya sudah mengatakan saya tidak akan menjadi jurulatih di Korea Selatan dan Vietnam. Di Vietnam, saya sudah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan tidak berniat untuk mengambil posisi ini di tempat lain.

“Di Korea, ramai junior dan rakan saya yang jauh lebih baik dari saya sehingga saya merasakan tiada yang istimewa untuk dilakukan di kampung halaman,” tambahnya.