Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tuan rumah, Indonesia menukar waktu sepak mula perlawanan separuh akhir 1 Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Berdasarkan jadual asal, waktu sepak mula perlawanan tersebut sepatutnya bermula pada pukul 8.30 malam (waktu Malaysia) namun terpaksa diawalkan pada pukul 5.30 petang atas alasan keselamatan.

“Tidak bagus mereka tukar waktu sepak mula hanya kerana isu keselamatan,” kata Park Hang Seo dalam sidang media.

“Indonesia merupakan tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) pada tahun ini tetapi tak elok kalau asyik tukar jadual perlawanan disebabkan alasan keselamatan seperti ini. Mereka perlu pertimbangkan semula,” katanya.

Perubahan waktu sepak mula turut memberi masalah kepada skuad Vietnam kerana mereka tidak cukup masa untuk pulih daripada kepenatan. Pasukan itu juga hanya sempat melakukan sesi latihan ringan sehari sebelum perlawanan.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Yunus Nusi menjelaskan pihak polis telah mengarahkan agar perlawanan berlangsung pada waktu petang untuk mengelakkan lebih ramai penyokong berkumpul di Stadium Gelora Bung Karno.

Mereka juga mengambil iktibar terhadap insiden yang berlaku pada minggu lalu apabila bas yang membawa skuad Thailand telah diserang oleh penyokong fanatik negara itu.

Difahamkan pegawai daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) turut membantu mempertingkatkan tahap keselamatan kerana bimbang terdapat insiden yang tidak diingini berlaku.

“AFF telah mengundang dua pakar keselamatan daripada AFC dan FIFA untuk memastikan kelancaran perlawanan separuh akhir ini.

“Sebelum pasukan Vietnam bertandang ke tempat rumit seperti itu, saya harap mereka dilindungi dengan ketat. Saya telah menghantar dokumen ke kedutaan Vietnam untuk memberi sokongan agar mengambil tindakan untuk kawalan keselamatan mereka,” kata Presiden Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan dipetik dari Zingnews.

Mengulas mengenai aksi bertemu Indonesia, Park Hang Seo yakin pasukannya akan menang walaupun anak buahnya bakal berdepan pelbagai provokasi daripada ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno.

“Kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami akan lakukan yang terbaik pada hari esok (hari ini). Indonesia pasukan yang sukar, tetapi Vietnam sudah cukup kuat untuk memenangi perlawanan ini,” tegasnya.