Ketua jurulatih Vietnam B-23 tahun, Park Hang-seo menegaskan pasukan bimbingannya sudah bersedia untuk menghadapi Malaysia di peringkat separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2021.

Vietnam akan bertemu Malaysia yang muncul sebagai naib juara kumpulan B setelah hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika berdepan Kemboja pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Hang-seo menyatakan Malaysia mempunyai barisan pertahanan yang berdisiplin namun ini tidak menjadi penghalang untuk skuad bimbingannya menampilkan prestasi cemerlang.

“Para pemain telah memberikan persembahan terbaik mereka saya bersyukur tentang itu. Tetapi sekarang, pasukan perlu menambah baik banyak aspek untuk beraksi dengan baik pada dua perlawanan seterusnya.

“Kami akan cuba yang terbaik dan akan cuba memberikan semua fokus untuk perlawanan yang akan datang.

“Saya hanya menyaksikan perlawanan lain melalui rakaman dan saya memerlukan waktu untuk menganalisis data yang telah saya terima. Tetapi walau apa pun, saya dan pasukan akan mempersiapkan diri dengan baik, sedia untuk berjumpa mana-mana pasukan.

“Siapapun pasukan lawan, kami masih akan bermain dengan mentaliti seperti pendekar yang berani. Sedia untuk beraksi, berjuang dan kemudiannya meraih kemenangan,” kata Park Hang-seo.

Vietnam menamatkan saingan kumpulan A sebagai juara kumpulan dimana mereka mengutip 10 mata selepas menghadapi empat perlawanan, mempunyai kelebihan satu mata di hadapan Indonesia yang menduduki tangga kedua.

Vietnam dan Malaysia merupakan dua pasukan yang tidak pernah tewas dalam saingan peringkat kumpulan dan pertembungan dua pasukan ini sememangnya ditunggu oleh ramai pihak.

Satu lagi pertembungan separuh akhir akan diisi oleh Thailand yang merupakan juara kumpulan B menentang Indonesia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Sukan SEA: Malaysia Nyaris Jadi ‘Lauk’ Kemboja

Alexandré Pölking: Indonesia Atau Vietnam, Kami Tidak Takut

Presiden FAM Mahu Pemain Malaysia B-23 Bangkit Tunjuk Mentaliti Sang Juara