Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menyifatkan permohonan Malaysia untuk tukar pemain ketika saingan Piala AFF Suzuki 2020 sedang berlangsung di Singapura adalah tidak munasabah.

Ketika ini, 4 pemain skuad Harimau Malaya disahkan positif COVID-19 melalui keputusan ujian saringan PCR yang dijalankan. Situasi itu menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain di posisi penjaga gol.

Berdasarkan undang-undang pertandingan AFF, tiada sebarang penambahan pemain dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran kecuali pertukaran pemain melibatkan posisi penjaga gol. Oleh itu, FAM sedang menimbangkan untuk membawa masuk Sam Somerville atau Azri Ghani bagi menggantikan tempat Khairul Azhan.

Bagaimanapun, Park Hang-seo berpendapat ianya tindakan yang tidak masuk akal kerana setiap pasukan dibenarkan membawa 30 orang pemain sebagai langkah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kekurangan pemain akibat dijangkiti COVID-19.

“Sejak dari awal lagi, penganjur kejohanan telah menetapkan satu peraturan yang jelas dan cara untuk mengendalikan pemain yang dijangkiti COVID-19. Peraturan membenarkan setiap pasukan membawa 30 orang pemain.

“Tidak munasabah mereka meminta untuk menambah atau menukar pemain ketika kejohanan sedang berlangsung. Sebelum ke Singapura, semua pasukan telah dimaklumkan mengenai situasi ini dan kami perlu sentiasa lebih bersedia.

“Kalau Vietnam minta untuk tukar Hun Dung sebelum berlepas, ianya memang tidak dibenarkan. Oleh itu, saya fikir tidak masuk akal untuk menukar pemain sekarang ketika dua perlawanan sudah berlangsung. Ini di luar pemahaman saya,” kata Park Hang-seo dalam sidang media hari ini.

Malaysia
Akhyara Rashid adalah antara pemain yang disahkan positif COVID-19.

Vietnam dijadualkan menentang Malaysia pada hari esok pada pukul 8.30 malam. Park Hang-seo turut mengakui skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bukanlah lawan yang mudah dan beliau mahu pemain mengutip 3 mata penuh.

“Kami sudah banyak kali bertemu mereka tetapi barisan skuad Malaysia kali ini berbeza. Susah nak cakap bagaimana keyakinan kami untuk menang. Apa yang penting ialah keputusan perlawanan dan cara kami bermain,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura

Piala AFF 2020: Indonesia Pamer Aksi Bertenaga Tundukkan Kemboja

Safawi Rasid: Sokongan Rakan Sepasukan Bantu Saya Ledak Hatrik