Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menegaskan keputusan seri ketika menentang Indonesia dalam aksi kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 tidak memberi sebarang kesan kepada pasukannya.

Vietnam gagal menembusi benteng pertahanan Indonesia yang menampilkan disiplin tinggi pada aksi yang berlangsung di Stadium Bishan semalan sekaligus gagal untuk meraih kemenangan kedua dalam saingan kumpulan B.

“Pemain kami telah menampilkan persembahan yang bagus pada perlawanan hari ini (semalam). Mereka sudah berusaha sepanjang perlawanan namun kami gagal untuk menjaringkan gol.

“Keputusan ini tidak memberi kesan kepada kami. Kami akan menentang Kemboja manakala Indonesia akan turun menentang Malaysia. Kita lihat sahaja apa yang akan terjadi nanti,” kata Park Hang-seo.

Meskipun juara bertahan itu menguasai permainan, namun benteng Indonesia berjaya untuk kekal disiplin sepanjang perlawanan sekaligus menafikan segala percubaan yang dilakukan oleh pemain Vietnam.

Keputusan seri ini meletakkan Indonesia di kedudukan teratas dalam kumpulan B diikuti dengan Vietnam yang berada di tangga kedua. Meskipun kedua-dua pasukan mempunyai jumlah mata sama, namun perbezaan jaringan meletakkan skuad Garuda di tangga pertama.

Vietnam dijangka tidak berdepan masalah ketika menentang Kemboja pada aksi terakhir kumpulan sekaligus bakal mara ke peringkat separuh akhir. Perlawanan antara Indonesia menentang Malaysia akan menjadi tumpuan kerana bukan sahaja kerana faktor musuh tradisi, kedua-dua pasukan juga mahu layak ke peringkat seterusnya.

Dua pasukan yang setakat ini sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir ialah Thailand dan Singapura. Kedua-dua pasukan ini akan berentang pada Sabtu ini bagi mencari pemenang kumpulan A.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Tan Cheng Hoe Anggap Indonesia Buat Persiapan Terbaik, Punya Barisan Pemain Laju

Piala AFF 2020: Indonesia Kental Bertahan Untuk Ikat Vietnam

Tan Cheng Hoe: Kehadiran Dion Johan Cools Bakal Stabilkan Pasukan