Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo masih berteka-teki mengenai destinasi beliau selepas berpisah dengan Golden Star Warriors selepas saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Hang-seo memilih untuk berpisah dengam Vietnam setelah lima tahun mengendalikan skuad senior dan juga B-23 Tahun dan meraih beberapa kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Namun, ada perkara yang mengejutkan di balik kisah Hang-seo dimana jurulatih dari Korea Selatan itu hampir menjadi pengendali skuad kebangsaan sebelum ini.

Menurut perkongsian pengamat bola sepak tempatan iaitu Piang Shankly, Hang-seo pernah menawarkan diri untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Malaysia dan beliau sanggup untuk meninggalkan Vietnam.

Ketika itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe setelah gagal dalam saingan Piala AFF 2020.

Pengendali berusia 65 tahun itu menawarkan diri bagi menggantikan Cheng Hoe namun FAM lebih memilih Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu pasukan negara.

Lantas, Hang-seo menandatangani kontrak lanjutan selama setahun untuk terus membimbing Vietnam dan sumbangan terakhir beliau ialah membawa pasukan itu mara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dimana mereka tewas kepada Thailand.

Park Hang-seo mengakui beliau menerima banyak tawaran namun belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan beliau.

“Ejen saya sudah mendapat beberapa tawaran dan saya sedang memikirkannya. Saya harus berbincang dengan keluarga terlebih dahulu untuk menentukan apa yang saya akan lakukan dan kemana destinasi saya.

“Apa yang pasti ialah saya akan kekal dalam arena bola sepak kerana itu perkara yang saya kuasai,” katanya.

Hang-seo turut menegaskan beliau menolak sekiranya ada tawaran dari Korea Selatan ataupun Vietnam kerana sudah pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

“Saya sudah mengatakan saya tidak akan menjadi jurulatih di Korea Selatan dan Vietnam. Di Vietnam, saya sudah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan tidak berniat untuk mengambil posisi ini di tempat lain.

“Di Korea, ramai junior dan rakan saya yang jauh lebih baik dari saya sehingga saya merasakan tiada yang istimewa untuk dilakukan di kampung halaman,” tambahnya.