Sudah berpisah tapi masih sayang. Itulah definisi sesuai bagi jurulatih dari Korea Selatan iaitu Park Hang-seo dimana beliau baru-baru ini hadir bagi memberikan sokongan terhadap bekas pasukannya, Vietnam yang beraksi di temasya Sukan SEA 2023.

Vietnam turun menentang Indonesia pada perlawanan peringkat separuh akhir semalam dan Park Hang-seo hadir untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Nasib nyata tidak menyebelahi Vietnam apabila Indonesia menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan menerusi Taufany Muslihuddin sekaligus memastikan Indonesia mara ke perlawanan akhir.

Selepas Taufany menjaringkan gol kemenangan, Hang-seo yang dilihat marah dengan jaringan itu memutuskan untuk meninggalkan stadium dan tidak mahu menunggu sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dalam perlawanan tersebut, Indonesia mendahului menerusi jaringan Komang Teguh pada minit ke-10. Vietnam berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Nguyen Van Tung pada minit ke-36. Pada separuh masa kedua, Indonesia kembali di hadapan pada minit ke-52 menerusi jaringan Muhammad Ferrari.

Namun pada minit ke-60, keadaan kelihatan semakin tidak memihak kepada Indonesia. Pemain utama mereka, Pratama Arhan dibuang padang kerana kesalahan kad kuning kedua.

Keadaan menjadi semakin tegang buat Indonesia apabila Bagas Kaffa tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79.

Pada masa kecederaan sebelum wisel penamat Taufany Muslihuddin mencetak gol kemenangan dengan rembatan menyilang dari luar kotak penalti dan menggear gawang pasukan lawan.

Indonesia akan turun menentang Thailand pada perlawanan akhir selepas skuad Gajah Perang menewaskan Myanmar dengan keputusan 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.