Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo kelmarin telah mengumumkan senarai 29 pemain yang dibawa ke Dubai, UAE bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun ini.

Lebih mengejutkan, dua tonggak utama yang tidak mempunyai minit permainan pada musim ini dan sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif turut disenaraikan iaitu Doan Van Hau dan penjaga gol, Dang Van Lam.

Kali terakhir Van Hau beraksi dalam saingan liga ialah pada bulan Julai 2019 dan selepas itu beliau dipinjamkan ke kelab Belanda, SC Heerenveen selama 6 bulan namun jarang berada dalam kesebelasan utama serta berehat panjang akibat kecederaan serius.

Manakala Van Lam yang kini menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka sudah lama tidak beraksi dalam sebarang perlawanan sejak Januari tahun lepas disebabkan penularan wabak COVID-19 dan konflik dalaman dengan Muangthong United.

Malah, Park Hang-seo turut mengambil risiko dengan menyenaraikan 8 muka baharu yang tiada pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dengan skuad senior dan kebanyakannya merupakan pemain muda.

Bagaimanapun, senarai pemain tersebut telah mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan peminat Vietnam apabila mereka mempersoalkan tindakan jurulatih itu tidak memilih dua pemain yang sedang ‘on-form’ iaitu bintang muda, Cao Van Trien dan pemain versatil, To Van Vu.

Mereka telah pun tiba di Dubai, UAE semalam untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas sehingga 43 celsius.

Bermain dalam keadaan cuaca yang terlampau panas mampu memberi kesan kepada tekanan fizikal kepada tubuh pemain sehingga menjejaskan corak permainan mereka.

Vietnam kini berada di kedudukan teratas dalan kumpulan G dengan 11 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Mereka akan menentang Jordan dalam aksi persahabatan pada 31 Mei.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan dalam kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022.

UAE Beri Amaran Awal, Belasah Jordan 5-1 Dalam Perlawanan Persahabatan

Akira Nishino Kecewa Theerathon Bunmathan Enggan Sarung Jersi Skuad Thailand

Tak Ikut Diet Pemakanan Yang Ditetapkan, Shin Tae-yong Pulas Telinga Pemain Indonesia

Kem Vietnam Resah, Seorang Lagi Pemain Cedera Patah Tulang Kaki

UAE Umum 35 Pemain Sertai Kem Latihan Pusat, Omar Abdulrahman Tiada Dalam Senarai