Satu aplikasi yang diperkenalkan sebagai PandaiBola bakal dibangunkan oleh syarikat MyEdusoccer Sdn. Bhd dalam usaha untuk mencungkil serta mengembangkan bakat baharu bola sepak dan memberikan latihan secara sistematik.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Muhamad Yazid Yahaya, PandaiBola dibangunkan berpandukan program fizikal dan juga latihan secara maya serta sistem rubrik yang mereka hasilkan.

“Aplikasi PandaiBola yang dibangunkan MyEduSoccer yang juga merupakan pemenang SUPERB pada tahun 2020 adalah satu inovasi latihan bola sepak secara digital untuk mengenalpasti dan menganalisa pemain berpotensi di peringkat akar umbi.”

“Aplikasi ini akan membantu menganalisa perkembangan (pemain) berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan, seterusnya akan dianalisa oleh barisan jurulatih yang berpengalaman berdasarkan kemampuan para pemain tersebut” jelas Yazid.

PandaiBola ini juga berupaya menjadi platform untuk mengasah bakat para pemain. Yazid berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik PandaiBola di Auditorium Resource Centre, Mranti Technology Park.

Majlis menandatangani kerjasama strategik tersebut yang berlangsung pada 24 Mac 2022 tersebut telah mengumpulkan lebih dari sebelas rakan kongsi strategik dalam membantu membangunkan aplikasi PandaiBola ini.

Antara rakan kongsi strategik terdiri daripada Mranti yang juga dikenali sebagai Technology Park Malaysia, Syarikat tinted Sunz Tint, Sekolah Kebangsaan Seri Perling 2, Universiti Sultan Zainal Abidin, Voltra, Opera Klasik, serta beberapa individu yang lain.

Muhamad Yazid Yahaya

Aplikasi PandaiBola dibangunkan oleh anak tempatan, aplikasi yang berada dalam peringkat awal pembangunan itu berfungsi menerusi pengumpulan data berbentuk video dan gambar yang kemudiannya akan dianalisa oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada para jurulatih yang memegang lesen jurulatih AFC B menerusi sistem rubrik oleh The Sekolah Bola.

Selain itu, PandaiBola juga bertindak sebagai satu platform yang bukan sahaja mampu melatih para pemain secara lebih sistematik malahan memberi kemudahan ibu bapa untuk mengenal pasti prestasi pemain selain dapat mencungkil bakat pemain di peringkat awal.

“Modul yang kita bangunkan memerlukan peserta melakukan tugasan tertentu, yang mana analisa akan dijalankan oleh para pakar kami menggunakan sistem Rubrik,” kata Yazid.

Salah satu modul yang diketengahkan adalah modul Karnival Sains Sukan yang telah mereka jalankan. Karnival ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada para pemain tentang bola sepak tetapi ianya juga memberi pengalaman kepada para pemain merasai pengalam seperti pemain profesional dengan menjalankan beberapa siri ujian fizikal.

Sistem rubrik serta modul latihan yang dibangunkan oleh pihak PandaiBola adalah hasil Kerjasama kerjasama dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bahagian Jurulatih, pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) khusus dari bidang sains sukan, Jurulatih Badrulsham, Jurulatih Shafiq dari Prestigious Sports Society (PSS), serta dari team PandaiBola Jurulatih Tarmizi, Natasha dan juga En. Yazid yang merupakan jurulatih UEFA daripada Persatuan Bolasepak Wales.

Rubrik ini diwujudkan supaya sistem dan proses analisa yang diguna-pakai dapat mengenal pasti potensi pemain disamping data yang diperoleh menjadi bukti kebolehan serta kompetensi pemain bermula di peringkat seawal 7 tahun.

Harapan dari pihak PandaiBola ialah supaya mereka dapat merealisasikan pembangunan digital aplikasi PandaiBola seterusnya dapat membantu membangunkan sukan bolasepak di negara ini.