Pengurus AC Monza, Raffaele Palladino menganggap kejayaan anak buahnya menundukkan Juventus 1-0 pada aksi Serie A 2022/23 awal pagi tadi umpama mimpi yang menjadi kenyataan buatnya.

Kejutan yang dilakarkan di Stadio Brianteo itu sudah pastinya cukup bermakna buat pengendali berusia 38 tahun tersebut kerana beliau pernah membuat 51 penampilan bersama Juventus.

Malah, ia juga merupakan kemenangan sulung selepas mengharungi tujuh perlawanan liga buat Monza yang pertama kali berada dalam saingan liga utama Itali.

Pada perlawanan tersebut, Christian Lund Gytkjær yang masuk pada separuh masa kedua berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika permainan memasuki minit ke-74.

“Ini adalah hari yang amat luar biasa bagi saya. Mimpi yang menjadi kenyataan,” ujar Palladino menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.

“Saya tidak mengharapkan kemenangan tetapi sudah tentu dengan komitmen dan keyakinan dalam kalangan pemain nyata membuahkan hasil. Mereka pemain yang sangat baik.”

“Mereka telah memberikan segala yang mereka miliki di atas padang. Secara peribadinya, saya tidak melakukan apa-apapun.”

“Dalam lima hari [sesi latihan] saya hanya melakukan sedikit sahaja. Pencapaian ini adalah milik pasukan,” tambah Palladino lagi.

Dengan kemenangan yang diraih, Monza melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan ke-18 dengan empat mata manakala Juventus pula di tempat kelapan selepas mengumpul 10 mata hasil dua kemenangan, empat keputusan seri dan satu kekalahan.